Alvin dan Ali, perginya tidak dihalau, pulangnya pun tidak perlu dijemput
Aspan Alias
Isu Alvin Tan dan Ali Abdul Jalil menjadi isu yang terkini yang tersiar dalam akhbar dan portal alternatif dan kita dengar berbagai-bagai reaksi terhadap pembatalan pasport antarabangsa mereka. Alvin Tan dikatakan telah melarikan diri ke AS manakala Ali Abd Jalil kini mendapat perlindungan suaka politik di Sweden.
Penarikan balik pasport antarabangsa itu adalah isu biasa dan bukan sahaja Alvin dan Ali yang mendapat pembatalan pasport antarabangsa itu, malahan ribuan yang mendapat nasib yang sama kerana berbagai-bagai sebab seperti mengalamai kebankrapan dan sebagainya. Tidak timbul pemansuhan kewarganegaraan kedua-dua mereka dan isu ini tidak perlu dijadikan isu yang perlu dibahaskan dengan hangat.
Kedua-duanya tetap warganegara ini dan mereka adalah sama seperti mereka yang melakukan kesalahan lain yang tidak dibenarkan memiliki pasport antarabangsa untuk perjalanan jauh ke negara lain.
Bagi mereka yang mempunyai pemikiran yang ‘level headed’ isu ini bukanlah satu isu besar. Negara mempunyai Perlembagaan dan Undang-Undang. Kita boleh berselisih pandangan dan pendapat tetapi asas penting sebagai rakyat sebuah negara yng mempunyai Undang-Undang dan Perlembagaan tindakan kedua-duanya meremehkan agama dan Raja-Raja Melayu itu sememangnya memerlukan reaksi dari pihak yang berwajib.
Tidak usahlah kita percaya dimana-mana dinegara lain kita akan mendapat kebebasan seratus peratus seperti haiwan di hutan. Di Sweden, kita telah faham sekarang, merotan anak pun adalah salah dari segi undang-undang sedangkan agama kita meminta ibu bapa merotan dengan cermat anak-anak yang tidak mahu dan engkar untuk bersolat setelah umurnya sampai tujuh tahun.
Harimau liar di hutan tidak terjumpa di luar hutan kerana harimau itu tahu dia tidak selamat kalau masuk kawasan bandar seperti Kuala Lumpur atau di Bahau. Tempatnya di hutan belantara bukannya di bandar atau di tempat yang sudah terbuka kawasannya kepada manusia.
Apatah lagi manusia, undang-undang itu penting kerana manusia mesti mengikut undang-undang yang ada semata-mata untuk menjadikan kehidupan manusia sejagat tersusun hidup mereka dan beretika dalam kehidupan seharian.
Jika marah kepada UMNO tumpukan usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat dan jika gagal jangan membakar negara kerana kita gagal untuk menjatuhkan parti itu. Ramai di kalangan yang muda sekarang mahukan kebebasan seperti kebebasan haiwan di hutan yang sendirinya tidak sebebas yang di jangka manusia.
Tetapi mereka yang berfikiran begini susah untuk di ajar, maka yang paling baik ialah untuk mengabaikan sahaja tindakan mereka, apatah lagi mereka memilih untuk duduk diluar negara. Tidak ada siapa yang menghalau mereka tetapi mereka sendiri yang pergi meninggalkan negara ini. Tetapi mereka juga tidak diminta pulang kerana mereka melanggar undang-undang yang ada. Bak kata perpatah, ‘perginya tidak dihalau, pulangnya nanti tidak dijemput. Perginya tidak nampak belakang dan jika mereka pulang pun tidak nampak mukanya’.