Kelantan Perinci Kaedah Laksana Hukuman Hudud


amar

(Harakah Daily) – Kelantan dianggap negeri pertama di dunia yang memperincikan kaedah-kaedah pelaksanaan hukuman terhadap pesalah hudud.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini kaedah pelaksanaan hudud belum diperincikan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (II).

Kata beliau orang yang menghukum juga diperjelaskan dalam draf baru yang dihasilkan.

“Berdasar kepada maklumat semasa Kelantan merupakan negeri pertama yang memperincikan kaedah-kaedah pelaksanaan hukuman terhadap pesalah di bawah undang-undang Islam.

“Mungkin juga pertama di dunia. Dari segi teknikaliti dan dokumen Kelantan yang pertama memilikinya. Di Arab Saudi tidak ada dokumen,” katanya di sini.

Difahamkan prosedur pelaksanaan hudud di Arab Saudi hanya berpandu kebijaksanaan hakim.

Mohd Amar juga berkata, mengikut amalan biasa dalam aspek perundangan sepatutnya setiap acara jenayah perlu dinomborkan.

“Apa yang kita buat di Kelantan secara dokumen dan ia boleh dibuat rujukan oleh sesiapa sahaja nanti,” katanya.

Kelantan merancang membentang rang undang-undang persendirian di parlimen tahun hadapan bagi membolehkan EKJS (II) yang diluluskan pada 1993 dapat dilaksanakan.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bagi memperkemaskan lagi EKJS II.

Kelantan turut menghantar enam wakil dalam Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud Peringkat Kebangsaan yang diwujudkan kerajaan pusat.

“Sebelum ini ada orang mengkritik hudud kerana mereka tidak faham. Sebab itu perlu kita perincikan lagi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud peringkat negeri.



Comments
Loading...