GST dan kemahiran membaca anak-anak
Pengecualian GST wajarlah diberikan kepada bahan-bahan dan perkhidmatan pendidikan yang dikenakan kepada ibu bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan menyumbang yang terbaik terhadap pembinaan dan pembangunan generasi masa depan negara.
Adeeba Adni
Membaca merupakan kemahiran asas bagi kanak-kanak.
Kebolehan membaca akan memastikan perkembangan akademik yang baik dan anak-anak mampu mencapai tahap intelektual yang tinggi. Ia menerbitkan minat untuk mencari ilmu dan memberdaya diri mencari makna-makna kehidupan dan mengatasi cabaran-cabaran yang dialami sejak awal lagi. Ia juga membawa anak-anak mengenal Tuhannya dengan lebih segera dan sempurna.
Begitu pentingnya kemahiran membaca yang perlu dikuasai oleh anak-anak.
Ibubapa perlu menyediakan bahan-bahan bacaan yang terbaik dan sesuai pada tahap umur anak-anak.
Sebaiknya mengamalkan membaca bersama anak-anak dan kandungannya boleh secara langsung diperlihatkan dalam kehidupan seharian, juga ketika menonton apa jua siaran media elektronik dan media sosial.
Yang hebatnya ialah tidak sukar untuk mengajar anak-anak membaca dengan cemerlang. Ibu bapa perlu memberi sebanyak masa yang wajar bagi mencapai hasrat tersebut. Ia adalah pilihan bijak ibu bapa untuk meluangkan masa secukupnya dengan kesabaran yang diperlukan. Kebiasaannya, ibu di rumah lebih efektif dan berpeluang melahirkan anak-anak yang berkemahiran membaca dengan cepat, secara berkaedah dan sistematik.
Kejayaan anak-anak yang profisien membaca adalah langkah utama dalam membina generasi masa depan dan masa depan sesebuah negara, bahkan sebuah tamadun.
Para legislator di Malaysia perlu mengambilkira fakta tersebut dan merangka dasar-dasar yang bersesuaian dengan pembinaan dan pembangunan aset penting negara.
Hanya sedikit perhatian (atau tiada perhatian langusng) diberikan kepada ibu bapa yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka beroleh kemahiran membaca dengan cemerlang ini. Pendidikan yang terbaik tentu ada kosnya. Ibubapa perlu dilatih terlebih dahulu untuk mengajar anak berkemahiran membaca. Ia boleh dilaksanakan menerusi kursus singkat dengan kos yang minima atau melatih diri sendiri menerusi pembacaan atau kaedah audio visual.
Anak-anak yang sudah menjadikan membaca suatu minat akan mengisi masa lapang mereka dengan lebih baik – ia suatu kawalan agar masa tidak terbuang dengan sia-sia atau dengan cara yang tidak sihat. Tentunya pendidikan anak-anak merangkumi pendidikan akhlak, pengurusan masa dan lainnya selain kemahiran membaca.
Para legislator tentu memahami bahawa ibu bapa sedemikian membantu kerajaan untuk mengurangkan kos-kos dalam pengurusan mengrehabilitasi anak-anak yang tidak boleh membaca dengan lancar atau tidak boleh langsung membaca dengan baik, serta kos langkah-langkah reaktif gejala sosial juvenil dan segala kos yang berkaitan dengannya, hasil perlakuan anak-anak yang mempunyai sindrom rendah diri kerana kurang arif dalam bidang akademik yang mementingkan kemahiran membaca.
Justeru, pengecualian GST wajarlah diberikan kepada bahan-bahan dan perkhidmatan pendidikan yang dikenakan kepada ibu bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan menyumbang yang terbaik terhadap pembinaan dan pembangunan generasi masa depan negara. Pengecualian GST itu akan menjadi suatu pengiktirafan kepada ibu bapa yang layak dan sememangnya wajar diberi perhatian oleh kerajaan yang prihatin tentang urusan rakyatnya.
Bagaimana GST meningkatkan kos kursus-kursus kemahiran ibu bapa mengajar anak-anak membaca dan lainnya:
Sebagai contoh, kebiasaannya sesuatu seminar atau bengkel mempunyai kos-kos tertentu seperti, yuran penceramah, jamuan, bahan-bahan edaran, perkhidmatan siaraya, alatulis, sewa dewan dan lain-lain. Cukai GST akan dikenakan oleh pembekal setiap satu dari bahan dan perkhidmatan tersebut. Senarai contoh yang diutarakan akan menjadikan kos suatu seminar itu menjadi meningkat minimum 6% daripada kos semasa. Jika pembekal menggunakan pula perkhidmatan dari pembekal lain, seperti pengangkutan maka kos pengangkutan dengan tambahan GST akan disalurkan kepada peserta seminar. Peningkatan kepada lebih 30% kos bukan sesuatu yang mustahil.
Mekanismenya perlulah difikirkan dan diolah bersama para wakil-wakil rakyat dengan wakil-wakil ibubapa berkenaan serta pakar-pakar yang sependapat.
Tiada yang tidak mampu diolah jika ada kesanggupan politik (political will) untuk berbuat sedemikian, lebih-lebih lagi di Malaysia ini ramai ibu bapa yang berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran menyara kos kehidupan keluarga masing-masing.
Kerajaan yang dipercayai ialah kerajaan yang menentukan langkah-langkahnya menurut perspektif rakyatnya. Segala ilham yang diperlukan untuk membentuk mekanisme dan kaedah-kaedah yang perlu bagi menjayakan hasrat mensejahterakan rakyat itu, akan dianugerahkan tanpa sebarang kesukaran dan disambut baik oleh kebanyakan rakyat.
GST hanya menguntungkan rakyat sekiranya ia diurus dengan baik. Sebahagian besar rakyat tidak meyakini ia akan diurus dengan baik kerana kerajaan Malaysia telah membuktikan acapkali kelemahannya dalam urusan kewangan rakyat – contoh terkini ialah kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai hampir RM42 bilion hutang semasa, dan meningkat setiap hari.
Adeeba Adni adalah penulis bebas dan aktivis dalam memasyarakatkan kebajikan dan politik