Hudud: Pas minta Kelantan beri taklimat


image

(Sinar Harian) – Pimpinan Pas Pusat sendiri tidak mengetahui isi kandungan pindaan yang akan dibuat.

Pas meminta Kerajaan Kelantan mengadakan program taklimat pindaan enakmen syariah negeri itu yang akan dibentangkan pada sidang khas Dun Kelantan, 29 Disember ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, taklimat berhubung perkara itu perlu, memandangkan pimpinan Pas Pusat sendiri tidak mengetahui isi kandungan pindaan yang akan dibuat.

Menurutnya, beliau berharap Kerajaan Kelantan akan mengaturkan pertemuan untuk memberi taklimat kepada semua pihak termasuk yang berminat berhubung pindaan tersebut.

“Isunya ialah pindaan pada satu enakmen yang sedia ada akan dibuat, bukan buat enakmen yang baharu. Enakmen ini sudah berusia kira-kira 20 tahun. Jadi saya harap Kerajaan Kelantan beri taklimat pada mana-mana yang berminat dan saya tawarkan kepada semua yang
berminat boleh hadir ketika sidang Dun itu nanti,” katanya di pejabat agung Pas di sini, semalam.

Ketika ditanya sama ada Kerajaan Kelantan pernah mengadakan pertemuan dengan rakan PR dan Pas Pusat bagi memberi taklimat berhubung pindaan itu, Mahfuz berkata, tidak pernah.

Katanya, Pas Pusat tidak mempunyai masalah jika Kerajaan Kelantan ingin mengadakan sebarang pertemuan berkaitan pindaan itu.

“Setakat ini tak ada pertemuan lagi. Tapi Pas tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan negeri juga jika mahu menyerahkan draf pindaan enakmen itu kepada rakan PR sebelum dibentangkan.

“Serah secara dalaman mungkin boleh, tetapi prinsipnya ia selalunya diserahkan secara embargo,” katanya.

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II berasaskan hukum hudud itu bertujuan mencadangkan rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.



Comments
Loading...