Hudud: Umno harap Pas tidak buat U-turn


image

(Sinar Harian) – “Saya bimbang Pas akan buat U-turn di saat akhir kerana bantahan daripada parti komponen PR sendiri”

Umno yang memberi jaminan menyokong penuh Rang Undang-Undang Hudud di Kelantan yang akan dibawa Pas secara bersendirian di Parlimen berharap parti itu tidak membuat pusingan-U di saat akhir.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pas perlu tetap dengan pendirian walaupun pada masa ini, rakan parti komponen PR iaitu DAP dan PKR dilihat menjadi penentang kepada pelaksanaan undang-undang ini.

“DAP adalah parti yang paling kuat menentang Pas untuk melaksanakan hudud.

“Saya bimbang Pas akan buat U-turn di saat akhir kerana bantahan daripada parti komponen PR sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya mengenai sokongan beliau terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu, Mohd Puad berkata, beliau akan menyokong usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang syariah itu di negeri berkenaan.

“Saya yakin semua pemimpin Umno akan menyokong penuh pelaksanaan hudud. Ini adalah tanggungjawab umat Islam bagi melaksanakan hukum hudud dan perkara ini tidak wajar dilihat daripada sudut kepentingan politik.

“Saya berharap Pas bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dan tidak bertangguh lagi,” katanya

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hudud dan berharap Pas tidak akan berganjak dengan keputusan yang dibuat.

“Saya memberi sokongan penuh terhadap usaha ini. Ini perjuangan Pas, sejak dahulu lagi dan jangan berhenti jika berlaku pelbagai asakan daripada mana-mana pihak.

“Saya juga cukup yakin ahli Umno juga akan  menyokong usaha Pas, cuma Kerajaan Negeri Kelantan perlu melihat daripada pelbagai sudut terutama pandangan masyarakat,” katanya.



Comments
Loading...