Melayu lemah sebab tak kuat iman
Amalan rasuah merupakan gejala bahaya yang akan memusnahkan bangsa Melayu kecuali kesilapan yang terjadi diperbetulkan.
(Free Malaysia Today) – Kelemahan orang Melayu yang tidak kuat keimanan menyebabkan mereka terbabit dengan amalan rasuah sehingga menjatuhkan maruah bangsa dan menjadi masalah negara.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, kesilapan pada orang Melayu adalah kelemahan dalam mempertahankan godaan memberi dan menerima rasuah.
Sehubungan itu tegas beliau, orang Melayu seharusnya menerima secara terbuka kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menjauhi amalan rasuah dan seterusnya membaiki penguasaan ekonomi.
Menurutnya, amalan rasuah merupakan gejala bahaya yang akan memusnahkan bangsa Melayu kecuali kesilapan yang terjadi diperbetulkan.
”Melayu diatas nama Islam yang seharusnya dijaga martabatnya dan tidak harus berpecah,” katanya dalam kenyataan media di sini sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa kuasa politik Melayu kian terhakis sehingga terpaksa mengemis kepada Cina DAP untuk memenangi pilihan raya.