DAP tak hadir mesyuarat jika hudud tetap teruskan


image

(Sinar Harian) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak akan hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR jika Pas tetap mahu meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud pada Sidang Khas Dun Kelantan 29 Disember depan.

Katanya, Pas tidak pernah membawa perkara tersebut kepada Majlis Pimpinan PR dan jika Sidang Khas Dun Kelantan meneruskan untuk melaksanakan hudud yang mana Jawatankuasa Pas Pusat pun tidak tahu menahu, tiada sebab untuknya hadir ke mesyuarat tersebut.

“Saya menyerahkan kepada pihak parti untuk memutuskan tindakan selanjutnya. Saya menyokong penuh apa yang disebut Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, bahawa hudud bukan sebahagian daripada dasar bersama PR, justeru Pas mesti membawa isu tersebut kepada Majlis Pimpinan PR untuk dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kit Siang berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 28 September 2011 di ibu pejabat Pas yang dihadiri lebih 30 pimpinan tertinggi DAP, PKR dan Pas; dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan DAP pada waktu itu, Karpal Singh, dan ahli-ahli Exco Kelantan perlu dipatuhi.

Katanya, konsensus pada waktu itu ialah hudud bukan sebahagian daripada dasar bersama PR dan semua parti bersetuju dengan konsensus itu.

“Seperti yang dikatakan Mohamed Azmin, jika ada pendapat baharu atau cadangan, ia mesti dibawa semula kepada konsensus asas yang dipersetujui oleh PR, maksudnya ia mesti kembali kepada Majlis Pimpinan.

“Saya tidak optimis bahawa Sidang Khas Dun Kelantan pada 29 Disember akan menjamin bahawa Pas akan kembali mentadbir Kelantan dalam pilihan raya umum  akan datang,” katanya.

Kit Siang berkata, kesan daripada keingkaran Pas ini hanya akan diketahui pada pilihan raya umum akan datang.

“Pimpinan DAP telah bersetuju untuk tidak menyokong isu hudud kerana kami percaya bahawa DAP dan Pas berkongsi cita-cita untuk mendukung keadilan, kebebasan, demokrasi, urus tadbir yang baik, kalis rasuah dan kesederhanaan di Malaysia.

“Kami percaya, kita mesti menjadi ahli politik yang jujur, tidak menggunakan cara salah dan licik untuk mengelirukan dan menipu pengundi untuk calon-calon PR di bawah andaian yang penuh kepura-puraan,” katanya.

Jelasnya, sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember untuk melaksanakan hudud adalah titik penentu bagi kedua-dua BN dan PR.

 



Comments
Loading...