Pas tetap laksana hudud
(The Kuala Lumpur Post) – PAS akan terus dengan usaha untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan walaupun mendapat desakan termasuk daripada rakan daripada dalam gabungan PR.
Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak akan melayan sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang meminta PAS agar berhenti daripada meneruskan usaha tersebut.
Sinar Harian melaporkan, menurutnya, Hudud adalah perjuangan PAS sejak dari awal penubuhan parti itu dan menjadi tanggungjawab untuk melunaskannya.
“Isu Hudud yang sering dibangkitkan oleh banyak pihak termasuk DAP bukanlah isu baharu. PAS sentiasa menghormati prinsip perjuangan parti dalam PR, namun tidak akan berganjak dengan keputusan yang sudah dibuat.
“Perjuangan PAS sangat konsisten sejak awal sehingga ke hari ini. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam. Hudud hanya akan dibuat di Kelantan sahaja dan tidak dikenakan kepada bukan Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau menegaskan sepatutnya perkara itu tidak dijadikan polemik hingga boleh mengancam PR.
“DAP pernah menarik diri daripada Barisan Alternatif pada 2001, kemudian menyertai semula PR pada 2008. Itu yang saya kata, PAS sentiasa konsisten. Perjuangan ini sejak awal lagi.
Beliau menegaskan, setiap parti perlu menghormati hak parti lain selagi mana tidak mencampuri urusan agama lain, bagaimanapun PAS tiada hak untuk menyekat apa sahaja kenyataan DAP berkaitan Hudud ini.
“Kita menerima apa sahaja pandangan, tetapi untuk menghentikannya tidak boleh. Inilah kewajipan PAS. Jika DAP kata tidak mahu hadir dalam mana-mana mesyuarat PR, kita tiada kuasa untuk berbuat apa-apa,” katanya.
Ditanya mengenai pusingan U yang mungkin dilakukan pada saat akhir seperti beberapa isu lain sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata, Hudud akan tetap dilaksanakan biarpun bercanggah pendapat.
“Kita akui ada beberapa perkara yang pada awalnya PAS tidak sependapat, akhirnya kita mengubah berdasarkan kesepakatan dalam politik, tetapi untuk Hudud, ia tidak akan berlaku memandangkan ini perjuangan Islam dan PAS.
“Jika pada 29 Disember nanti, PAS mengambil keputusan menangguhkannya, ia bukan disebabkan parti lain, tetapi saya kira berdasarkan kepada keadaan semasa iaitu bencana banjir yang sedang berlaku pada masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan akan membuat pembentangan mengenai pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di hadapan PAS Pusat pada 28 Disember ini.
“Itu langkah terakhir sebelum dibentangkan pada keesokan harinya. Di situ nanti kita akan dapat dengar penjelasan dengan lebih terperinci mengenai perkara ini.
“Pada sesi ini juga, mana-mana pemimpin PAS yang sebelum ini kurang bersetuju akan mendapat penerangan lebih jelas dan diharap selepas pembentangan itu, tidak timbul lagi percanggahan pendapat berkenaan Hudud ini,” katanya.