Bah Datang Kerana Tangan Manusia
Kali ini, sejarah berulang lagi. Ini bukti bahawa kita tidak langsung mengambil pelajaran daripada peristiwa sejarah.
Khairul Naim Rafidi
“Selama penderitaan datang dari manusia, dia bukan bencana alam, dia pun pasti bisa dilawan oleh manusia.” – Pramoedya Ananta Toer
Selepas Malaysia dilanda beberapa bencana: MH370, MH17, dll, dalam tahun yang sama Malaysia mencatatkan keadaan banjir terburuk selepas berpuluh tahun, terutamanya di Kelantan. Pelbagai spekulasi dikeluarkan oleh rakyat Malaysia terutamanya punca banjir yang berlaku pada tahun ini.
Banjir dan pantai timur, terutamanya Kelantan memang tidak dapat dipisahkan. Namun begitu, keadaan tahun ini menunjukkan satu keadaan yang agak luar biasa terutamanya dalam beberapa kawasan; Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang. Walau apa jua keadaan, peristiwa bah merah tetap akan diingati terutamanya oleh warga emas di Kelantan. Paling tidak, Bah Merah akan menjadi tanda aras bagi keadaan banjir setiap tahun.
Menurut catatan, hujan tanpa henti selama sepuluh hari pada tahun 1926 telah menyebabkan banjir besar yang dikenali sebagai Bah Merah telah melanda kawasan-kawasan di Kelatan. Gelaran Bah Merah diberikan oleh kerana air banjir yang bertukar menjadi warna teh susu. Dikatakan hal ini berpunca daripada bahagian hulu sungai yang runtuh dan menyebabkan air bercampur dengan lumpur.
Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi banjir besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. Banjir itu dikatakan kurang sedikit berbanding dengan Bah Merah pada tahun 1926. Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir tahun 1967 dikira lebih besar.
Ini adalah sejarah. Namun, sejarah itu harus diingati dan dipelajari. Jika tidak pasti ia akan berulang lagi. Kali ini, sejarah berulang lagi. Ini bukti bahawa kita tidak langsung mengambil pelajaran daripada peristiwa sejarah.
Kita mempunyai pilihan sama ada ingin menganggap banjir ini sebagai bencana alam semata, atau ia berpunca daripada tangan – tangan manusia itu sendiri. Allah S.W.T mengingatkan kepada manusia ;
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]
Apakah kita tidak sedar ini adalah satu lagi pelajaran buat kita? Perkara yang sering kita lupa apabila melihat musibah ini?
Saya tidak berminat untuk menyentuh soal-soal pembalakan, isu perparitan dsb kerana ini mungkin boleh diulas oleh orang yang lebih pakar. Tetapi, apa yang pasti apa yang berlaku ini amat berkait dengan fungsi dan peranan golongan yang memimpin pada hari ini.
Dalam keadaan kita dilanda bencana seperti ini, ada juga aktor politik menggunakan isu ini bagi alat bagi mencapai impian politik, kononnya bagi melaksanakan hukum Islam kerana ini adalah peringatan daripada Tuhan tanpa memikirkan resolusi yang sebetulkan kearah penyelesaian masalah utama rakyatnya. Pada masa yang sama, pemimpin besar Malaysia yang memegang amanah kepada bencana di kawasan pemerintahannya lebih rela mengambil peluang seumur hidup bermain golf dengan Presiden US, berbanding ke kawasannya.
Ini adalah tangan-tangan yang memegang amanah.
Jika begini keadaannya, selama mana bumi ini mampu bertahan dek kerakusan manusia?
Maka, inilah masanya rakyat bersatu hati, ketepikan soal politik dan bantu mana yang perlu.