PAS laksana Hudud, DAP yang menggelepar


PAS-DAP-hudud

Persahabatan yang dijalin dalam pakatan pembangkang adalah berkisar soal apa kehendak dan kemahuan politik DAP dan PKR, manakala PAS pula tidak boleh bertindak sendiri, segala-galanya perlu mendapat kebenaran serta keizinan kedua-dua parti.

Zulkiflee Bakar, Free Malaysia Today

Pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS kini semakin mengancam hubungan dalam pakatan pembangkang. Ketika PAS bertegas untuk melaksanakannya, DAP pula menentang keras manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil sikap menyebelahi DAP.

Bagaimanapun ramai yang ingin melihat sejauh manakah keberanian PAS berhadapan tentangan DAP dan PKR memandangkan PAS sudah menyatakan hukum Hudud adalah nyawa parti itu. Apabila ia diibaratkan sebagai nyawa sudah tentulah PAS akan berjuang habis-habisan untuk memastikan hukum yang selama ini menjadi modal politik kepada PAS menarik sokongan umat Islam akan dipertahankan habis-habisan.

Jika sebelum ini PAS sering menuduh UMNO menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut, kini tentangan datang daripada sekutunya sendiri yang sebelum ini dianggap lebih memahami perjuangan Islam PAS berbanding UMNO. Tetapi ternyata, wajah sebenar DAP dan PKR semakin terserlah apabila mereka menentang habis-habisan usaha PAS melaksanakan hukum Hudud di Kelantan walaupun ia hakikatnya hanya dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Entah mengapa DAP menjadi tidak keruan apabila PAS bertegas sehingga bersedia memberi amaran tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang jika PAS bertegas untuk melaksanakan hukum tersebut.

Sudah jelas kini, persahabatan yang dijalin dalam pakatan pembangkang adalah berkisar soal apa kehendak dan kemahuan politik DAP dan PKR, manakala PAS pula tidak boleh bertindak sendiri, segala-galanya perlu mendapat kebenaran serta keizinan kedua-dua parti tersebut.

Apa yang anehnya, apabila pemimpin DAP mahu bercakap soal membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam manakala PKR pula merancang ‘Langkah Kajang’ sehingga menyaksikan perubahan jawatan Menteri Besar di Selangor, kedua-dua parti itu tidak pula berbincang dengan PAS tetapi apabila PAS mahu melaksanakan apa yang dianggap dasar perjuangannya, parti itu perlu pula mendapat restu DAP dan PKR.

Keadaan itu sepatutnya memberikan isyarat kepada PAS bahawa DAP dan PKR hakikatnya tidak ikhlas unmenjalin hubungan politik dengan PAS. Mereka hanya mahu memperalatkan PAS bagi meraih sokongan dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun PAS menyedari perkara ini, namun kepimpinan parti itu masih tetap mahu berada dalam pakatan pembangkang dan seolah-olah merayu kepada DAP dan PKR supaya merestui hasrat mereka untuk melaksanakan hukum Hudud.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang jauh lebih senior, berpengalaman dan berwibawa daripada PKR dan DAP, PAS tidak perlu dilihat seolah-olah ‘menyembah’ kedua-dua parti berkenaan bagi melaksanakan agenda perjuangan partinya.

Bagaimanapun, walaupun kita melihat ada kenyataan tegas dibuat termasuklah kononnya akan mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang tetapi hakikatnya, PAS tidak ada keberanian untuk bertindak jauh lebih daripada itu.

Jika DAP dan PKR boleh memberikan kata dua kepada PAS untuk mengikut kehendak politik mereka kenapakah PAS tidak diberikan atau berkemampuan melakukan perkara yang sama? Lebih malang lagi, dalam PAS sendiri tidak begitu ramai pemipemimpin kanannya yang tampil mempertahankan hak parti itu untuk melaksanakan hukum Hudud.

Setakat ini apa yang kita saksikan hanyalah kenyataan daripada golongan ulama, manakala golongan bukan ulama lebih banyak mendiamkan diri. Situasi ini tidak akan menguntungkan PAS, sebaliknya boleh menimbulkan tafsiran di dalam PAS sendiri tidak wujud kesepakatan bagi melaksanakan hukum Hudud.

Apa pun, jika benar PAS menganggap hukum Hudud adalah nyawa mereka, maka adalah wajar jika parti itu bertegas untuk mempertahankannya. Adalah sesuatu yang malang apabila secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan daripada kepimpinan PAS bahawa parti itu bersedia menangguhkan pelaksanaan hukum Hudud demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...