Hudud belum sesuai, bangunkan dulu ekonomi Kelantan, kata NGO Islam


KELANTANDAILYLIFE_071013_TMIAFIF_005

(TMI) – Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam atau hudud masih belum sesuai di Kelantan kerana masih banyak kelemahan yang belum diatasi kerajaan negeri, kata Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu berpendapat, dalam keadaan sistem ekonomi yang tidak stabil dan peluang pekerjaan masih kurang di Kelantan, pelaksanaannya akan mengundang satu sistem tidak adil kepada rakyat.

“Pelaksanaan hudud perlu menegakkan Islam dulu, seperti isu ekonomi, supaya berlaku keadilan dalam pengagihan kekayaan dan peluang pekerjaan.

“Dalam keadaan ada orang tiada pekerjaan, kerajaan tidak cukup berlaku adil dan sistem tidak ditegakkan, ia sebenarnya tidak sesuai,” kata presidennya Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Katanya, ulama berpandangan, hudud hanya membentuk 2% daripada hukum syariah Islam dan konsep syariah perlu dilihat serta diamalkan dalam skop yang lebih luas.

Katanya, pelbagai kelemahan yang masih belum diatasi kerajaan negeri akan membuka kepada ruang syubhah (perasaan ragu-ragu kerana maklumat tidak jelas) menyebabkan hudud tidak boleh dilaksanakan.

“Kita tegakkan dulu sistem ekonomi, politik dan sosial. Bila sistem dan manusia dibangunkan, baru kita laksanakan hudud itu kemudian.

“Situasi syubhah mengangkat pelaksanaan hudud kerana hadis Rasulullah bermaksud ‘hudud itu terangkatnya dengan suasana syubhah’ iaitu suasana tidak yakin,” katanya.

Beliau berkata, kesempitan hidup, tiada peluang pekerjaan sehingga berlakunya jenayah kecurian akan membuka ruang syubhah.

“Bila sistem tertegak, barulah kita dapat keadilan Islam itu. Jika tidak, waktu ini salah penggunaan dan pelaksanaannya,” katanya.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hudud-belum-sesuai-bangunkan-dulu-ekonomi-kelantan-kata-ngo-islam



Comments
Loading...