Politik negara dijangka panas pada 2015


Salleh-Keruak

Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi, pemimpin hendaklah lebih matang menghadapi keadaan politik semasa.

Faiz Zainudin, Free Malaysia Today

Negara mungkin akan berdepan dengan pelbagai cabaran pada tahun hadapan terutamanya dalam bidang politik mahupun ekonomi, apatah lagi bila Malaysia menjadi anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menjadi perhatian antarabangsa.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, perkara yang akan paling menarik perhatian rakyat adalah perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

“Kita sudah lama maklum mengenai pelaksanaan GST mulai 1 April 2015, maka sewajarnya kita membuat persediaan awal menghadapinya. masih belum terlambat merangka pelan tindakan,” katanya menerusi entri terbarunya.

Sementara itu, beliau berkata, suasana politik negara juga dijangka panas apabila isu 1MDB, hukum Hudud, kes liwat ketua pembangkang, masalah dalaman Pakatan Rakyat, politik baru UMNO dan pendebatan liberal dan extreme Melayu, kesemua isu tersebut akan terus mewarnai keadaan politik Malaysia.

Malah, cabaran termasuk dari aspek keselamatan dan kesudahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan isu kebanjiran pendatang asing di Sabah juga akan terus dimainkan oleh ahli-ahli politik.

“Dalam konteks politik hari ini, saya sering tegaskan bahawa suasananya sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

“Kita kena terima hakikat ini. Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi. Maka, pemimpin kena lebih matang dalam menghadapi keadaan politik seperti ini,” ujar beliau.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...