Azmin: Sanggup kerjasama dengan BN demi rakyat


azmin_ali_300

Selangor sudah mengamalkan pendekatan temu-tembung dengan kerajaan BN dari peringkat Kerajaan Persekutuan

(Free Malaysia Today) – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sedia untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan baik dengan Barisan Nasional (BN) walaupun berpegang kepada fahaman politik berbeza demi kepentingan rakyat Selangor.

Azmin berkata, beliau akan berpegang kepada prinsip iaitu wacana baharu perlu dibentuk bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin dan terpelihara.

Katanya, di peringkat Selangor sendiri, pihaknya sudah mengamalkan pendekatan temu-tembung dengan kerajaan BN dari peringkat Kerajaan Persekutuan, lapor Sinar Harian.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri adakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung langkah yang boleh diambil untuk pembangunan negeri Selangor.

“Malah undang-undang baru yang diluluskan di Parlimen juga ada mengatakan Kerajaan Persekutuan perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan masalah perumahan dapat diselesaikan di Selangor,” katanya selepas merasmikan Program Malam Generasi Idaman Selangor (GeMS) Berdoa Untuk Malaysia di Bulatan Bazarena, Stadium Malawati, lapor Sinar Harian.

Tambah Azmin, isu denggi yang semakin serius di Selangor juga membuka ruang kepadanya menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

“Menterinya sendiri juga sudah jumpa dengan saya untuk membincangkan isu denggi yang agak serius di Selangor.

Kesediaan beliau untuk memantau dan beri kerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor membuktikan yang kita mampu bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...