Referendum untuk kerajaan campuran PAS dan UMNO


Kelantan-Bn-Pas

Jika majoriti rakyat Kelantan inginkan perubahan, kerajaan negeri perlu akur

(Free Malaysia Today) – Kerajaan negeri Kelantan perlu membuat referendum bagi mewujudkan kerajaan campuran antara PAS dan UMNO di negeri berkenaan.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki S Mohamad berkata pungutan suara tersebut bertujuan untuk mendengar sendiri kemahuan rakyat Kelantan bagi membangunkan kembali negeri itu yang hampir lumpuh akibat banjir buruk yang melanda.

Menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan negeri mendengar keinginan rakyat dan berani melakukan perubahan demi membantu rakyat.

“Sekiranya 50 peratus daripada jumlah rakyat Kelantan menginginkan perubahan, kerajaan negeri perlu akur,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat Kelantan memerlukan kerajaan yang stabil untuk membina kembali negeri mereka, lapor Sinar Harian.

Memandangkan keadaan masa kini di mana wujud dua kerajaan berbeza dan berlaku percanggahan dalam membuat keputusan, beliau mengingatkan supaya kesejahteraan rakyat tidak menjadi korban demi kepentingan politik semata-mata.

“Ujian yang datang ada hikmahnya, Allah SWT menyuruh umatnya untuk bersatu kerana telah berpuluh tahun kita (rakyat Kelantan) berpecah disebabkan fahaman politik,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Penerbit Sinar Harian Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, yang menyeru kepimpinan PAS dan UMNO di Kelantan membentuk kerajaan campuran, beliau berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan yang mempunyai latar belakang fahaman politik berbeza menyatakan sokongan cadangan penyatuan itu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...