Laporan audit cacat: peguam akan teliti surat tuntutan dan buat tuntutan balas yang tidak terbatas


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2011_02_faekah-husin

Saya telah menerima surat tuntutan pemulangan keseluruhan wang yang diberikan oleh pengurusan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) kepada saya sebelum pentadbiran baharu mengambilalih pucuk pimpinan kerajaan negeri Selangor.

Memandangkan isu ini adalah berkaitan undang-undang maka kesemua penerima wang di bawah MSS (Mutual Severance Schme) akan mengambil perkhidmatan peguam bagi meneliti surat tuntutan tersebut dan mengambil langkah-langkah seterusnya.

Secara peribadi saya menafikan bahawa pembayaran wang melalui MSS adalah dibuat secara salah dan tanpa mendapat kelulusan sebagaimana yang dinyatakan di dalam surat tersebut. Surat tuntutan juga gagal menyatakan dengan jelas sebarang pelanggaran undang-undang dan tatacara kewangan serta salah laku yang telah dilakukan ketika pembayaran dibuat.

Saya kesal apabila pentadbiran hari ini telah bertindak melampaui batas yang luar biasa di dalam isu MSS ini. Pembayaran telah dilakukan setelah persetujuan di antara semua pegawai yang terlibat dengan pentadbiran terdahulu yang dicapai atas dasar kepercayaan dan sikap profesional semua pihak. Pendekatan MSS diambil bagi memberi ruang secukupnya kepada pentadbiran baharu untuk meneruskan agenda dan corak pentadbiran mereka tanpa terpaksa berhadapan dengan kumpulan wargakerja pasukan terdahulu.

Justeru, meskipun ramai pegawai yang masih mempunyai baki tempoh perkhidmatan seperti dalam kontrak namun pendekatan pertengahan telah diambil dan sejumlah potongan besar dipersetujui. Saya kesal persetujuan bersama ini telah dicemar dan dilanggar pentadbiran baharu dan kami dengan ini mencabar persetujuan tersebut.

Laporan audit yang kononnya menjadi asas tuntutan adalah satu laporan yang cacat, tidak dilakukan secara profesional dengan menurut tatacara pengauditan yang betul serta berniat jahat. Audit tersebut juga cacat apabila dijadikan dokumen awam tanpa mendapat penjelasan daripada pihak terlibat termasuk mantan Dato’ Menteri Besar Selangor sendiri.

Tindakan tidak profesional dalam memanipulasikan audit cacat tersebut telah mewujudkan prasangka yang dahsyat terhadap semua pihak yang terlibat membuat keputusan termasuk para penerima pampasan.  Justeru saya telah mengarahkan peguam saya untuk melihat dari semua sudut undang-undang  dan melakukan tuntutan balas yang tidak terbatas hanya kepada untuk mendapatkan keseluruhan jumlah sehingga tamat kontrak, gantirugi bagi pecahjanji MMS dan kerosakan penghinaan yang kami alami.

FAEKAH HUSIN
MANTAN CEO MBI

 



Comments
Loading...