Di sebalik musibah mungkin ada fadhilatnya -Kerjasama Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
Yayasan 1 Malaysia mengalu alukan pendekatan kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di dalam menangani cabaran bencana alam yang melanda negeri di pantai timur desawarsa ini.
Usaha pemulihan dan pembaikan sudah pasti memerlukan gandingan tenaga dan iltizam daripada kedua-dua pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Persoalan politik kerpartian dan isu-isu berkaitan personaliti harus di ketepikan agar usaha keseluruhanya dapat di tumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
Yayasan 1 Malaysia melihat kesefahaman yang terjalin di antara kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri khususnya di Kelantan sebagai suatu peluang yang luar biasa. Ia boleh memperkukuhkan prinsip kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks sistem persekutuan dalam negara kita sepertimana yang di idamkan di dalam perlembagan Malaysia.
Adalah di harapkan kerjasama dalam menangani isu pasca banjir ini akan membawa kepada persefahaman yang lebih mendalam diantara kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO disatu pihak dan kerajaan PAS di satu pihak yang lain. Persefahaman yang lebih menyeluruh dan mendalam harus merangkumi aspek pembangunan alam sekitar, ekonomi, politik, kemasyarakatan dan keagamaan. Kefahaman yang lebih menyeluruh dan mendalam ini adalah di harapkan dapat mengikis dan mengurangkan politik kepartian yang kurang sihat malah dapat membuka jalan kearah negara Malaysia yang lebih bersatu.
Masyarakat dunia khususnya penghuni negara ASEAN masih mengingati bagaimana malapetaka Tsunami yang melanda Aceh pada bulan Disember 2004 telah membawa kepada suatu bentuk politik dan kerjasama antara pemerintah pusat di Jakarta dan wilayah Aceh. Malapetaka tersebut adalah antara faktor utama yang bertanggungjawab di atas termertainya perjanjian damai Aceh yang mengakhiri pemberontakkan Gerakan Aceh Merdeka (GEM).
Apakah sejarah mungkin berulang di sebuah lagi negara Asean selepas 10 tahun ?
Dr Chandra Muzaffar
Pengerusi Yayasan 1 Malaysia