Peneroka diminta bersumpah sebelum dapat bantuan banjir


bantuan

(Harakah Daily) – Seorang warga emas di Rancangan Pembangunan Tanah Lebir hadir ke tempat penyampaian bantuan banjir tertera gambar dacing, namun kelu selepas diminta bersumpah sebagai syarat menerima bantuan.

Marah dengan tindakan politik murahan tersebut peneroka beredar keluar biarpun tahu bantuan disedia di majlis itu disumbang pelbagai pihak termasuk kerajaan pusat.
Penghulu Mukim Bandar Ciku, Muhsin Mahmood berkata, peneroka terbabit mengadu kepadanya dia diminta bersumpah menyokong Umno sebagai syarat sebelum diberi bantuan.

Katanya, peneroka berkenaan kecewa kerana Umno menggunakan peluang ketika rakyat ditimpa kesusahan bagi meraih politik murahan.

“Dia bersungguh-sungguh memberitahu petugas Umno di situ memintanya bersumpah menyokong Umno kalau mahu bantuan banjir tersebut,” katanya di sini.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad berkata, pelajar-pelajar dari sebuah universiti dari selatan tanah air turut hadir pada program anjuran Umno terbabit.

Katanya, penduduk yang hadir menerima bantuan tersebut memberitahu pelajar-pelajar berkenaan kelihatan memakai seragam Puteri Umno.

Beliau juga memberitahu penduduk di Lebir turut mendakwa sebuah agensi kerajaan pusat yang membuat bancian rumah ditenggelami air bah hanya menyenarai rumah-rumah penyokong Umno sahaja.

“Seorang peneroka warga emas begitu sedih dan kecewa apabila rumahnya yang ditenggelam air bah tidak disenaraikan dalam bancian kerana tidak menyokong Umno.

“Dia mengadu masalah itu ketika rombongan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan yang diketuai Mazlan Aliman datang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Lebir baru-baru ini,” ujarnya.

Manakala mangsa banjir yang kini berlindung di Sekolah Kebangsaan Pasir Tumbuh pula mendakwa hanya sekali melihat kelibat Adun BN Nenggiri, Mat Yusof Abdul Ghani selepas banjir surut.

Kata mereka segala bantuan makanan dan keperluan harian banyak disumbang badan-badan bukan kerajaan yang hadir biar pun perjalanan untuk sampai ke situ terpaksa mengharung lumpur tebal.

Keadaan sekolah tempat mereka berlindung itu agak sempit. Ia terletak di atas bukit membuat mangsa-mangsa banjir terpaksa berasak-asak. Asrama pelajar dijadikan tempat menginap sementara.

Mujur ketika lawatan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob petang semalam hujan agak lebat membolehkan mereka menandah air hujan bagi keperluan harian.

Mangsa banjir Razak Sulaiman, 54 pula berharap ada pihak menyumbang pam air berkuasa tinggi bagi membersihkan rumah penduduk yang ditimbusi lumpur sehingga ke paras lutut.

“Kami mungkin terpaksa mengambil masa sehingga seminggu untuk mencuci lumpur yang begitu tebal. Sejak banjir surut saya sudah cuci rumah namun tidak selesai lagi,” katanya



Comments
Loading...