Artis Thai ditahan selepas buat persembahan


image

(Sinar Harian) – Mengikut syarat ditetapkan Puspal, artis wanita hendaklah menutup badan dari pangkal buah dada hingga bawah lutut dan yang membuat persembahan gelek harus menutup badan yang terdedah.

Sekumpulan artis yang didatangkan khas dari Thailand tergamam apabila ditahan pegawai Jabatan Imigresen sebaik selesai melakukan persembahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Lebuh Pantai di sini malam tadi.

Semua gara-gara tindakan mereka melakukan persembahan yang tidak mematuhi syarat-syarat agensi pusat permohonan pengembaraan filem dan persembahan artis luar negara (Puspal).

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan kira-kira jam 11.30 malam, 11 artis warga Thailand dan empat krew mereka ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang,Hasbullah Abd Rashid berkata, kumpulan artis itu didapati berpakaian mengghairahkan selain terdapat unsur pemberian tip yang melanggar syarat yang ditetapkan.

Menurutnya,pelanggan pusat hiburan berkenaan akan memberi kalungan bunga dan selendang kepada artis kegemaran mereka mengikut harga tertentu.

Kalungan bunga dan selendang berkenaan disediakan dengan harga dari RM50 hingga RM300 dan akan dikalungkan sendiri oleh pelanggan kepada artis pilihan mereka.

Beliau berkata, mengikut syarat ditetapkan Puspal, artis wanita hendaklah menutup badan dari pangkal buah dada hingga bawah lutut dan yang membuat persembahan gelek harus menutup badan yang terdedah.

“Intipan yang kami buat sebelum serbuan mendapati mereka gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. Bayangkan bagaimana mereka beraksi di atas pentas bagi menarik perhatian pengunjung untuk mendapatkan tip,” katanya ketika ditemui media selepas selesai operasi berkenaan.

Turut serta dalam operasi berkenaan, Ketua Penguatkuasa Imigresen negeri, Abdul Rahman Hassan.



Comments
Loading...