Kempen singkirkan Zahid Hamidi sudah bermula
Amin Iskandar, The Malaysian Insider
Walaupun masih ada setahun sebelum pemilihan Umno pada 2016, pertandingan yang bakal memberikan laluan kepada ahli parti untuk menjadi pemimpin negara itu dikatakan sudah bermula, dan kempen untuk menyingkirkan pemimpin kanan paling popular, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang dilakukan.
Sumber dalaman Umno memberitahu, isu surat menteri dalam negeri itu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung raja judi Paul Phua Wei Seng sedang digunakan untuk menamatkan karier politik ahli Parlimen Bagan Datoh itu.
Kerana popularitinya dan status sebagai pemimpin kanan Umno paling popular (presiden dan timbalan presiden tidak bertanding) dan sudah teruji dalam dua pemilihan lepas, Zahid dilihat menjadi penghalang kepada sesetengah pemimpin untuk mendaki hiraki kepimpinan parti Melayu itu.
Dalam pemilihan Umno akan datang, Zahid dilihat sebagai ancaman bagi jawatan timbalan presiden mahupun presiden Umno kerana popularitinya.
Ini bermakna, jika Zahid menang jawatan timbalan presiden atau presiden Umno, beliau bakal menjadi timbalan perdana menteri atau perdana menteri Malaysia.
Salinan surat Zahid kepada FBI dan rencana mengenainya pada mulanya didedahkan akhbar South China Morning Post (SCMP). SCMP juga menyiarkan kandungan surat itu, di mana Zahid mengatakan Paul bukan ahli kongsi gelap 14K di Malaysia.
Surat yang ditujukan kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano itu mendakwa Paul membantu Putrajaya dalam projek yang berkaitan dengan keselamatan negara.
Ketika isu surat kepada FBI itu heboh di media atas talian dan laman sosial sehingga Zahid menjawabnya buat kali pertama Jumaat lepas, tidak kelihatan pemimpin-pemimpin kanan Umno mempertahankannya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya memberitahu media pada 13 Januari, Kabinet tidak pernah berbincang mengenai surat Zahid kepada FBI itu.
Bagaimanapun, keesokan harinya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mesyuarat jemaah menteri sudah mendengar penjelasan Zahid berhubung surat yang dihantarnya kepada FBI.
Zahid juga tidak mendapatkan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di bawah kementeriannya. Dikatakan polis yang sebelum ini tidak percaya dengan pendedahan akhbar SCMP kini marah kerana reputasi PDRM tercalar.
Seorang pegawai kanan polis memberitahu The Malaysian Insider, sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid sepatutnya mendapatkan nasihat undang-undang sebelum menulis surat itu.
“Apabila isu itu pertama kali dihebohkan, ada pihak yang pada mulanya tidak percaya Zahid bertindak mengetepikan laporan rasmi dari PDRM,” kata pegawai itu.
“Kemudian, ketika isu itu semakin berkembang dan peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat sidang akhbar, rasa tidak percaya itu bertukar menjadi ketawa dan akhirnya marah.
“Kredibiliti pasukan polis hancur lumat kerana orang ramai mula mempersoalkan kenyataan bercanggah yang datang dari Malaysia berhubung kes Phua,” kata seorang pegawai berpangkat tinggi.
Sebab itulah Zahid pada sidang medianya Jumaat lepas berikrar akan tetap memerangi gangsterisme, jenayah dan judi di negara ini.
“Saya tidak akan berkompromi dengan gejala tidak sihat dan episod ini menguatkan semangat saya untuk terus memerangi aktiviti jenayah,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha memenangi kembali hati anggota-anggota PDRM yang berada di bawah kementeriannya.