Charlie Hebdo: mainan tangan ghaib CIA?


hebdo-CIA

Serangan bendera palsu ini bertujuan menjadikan Paris lembu dicucuk hidung kepada Washington.

Iman Hakim, Free Malaysia Today

Versi rasmi yang diterima ramai dan dicanangkan ke merata dunia ialah serangan Charlie Hebdo dilakukan oleh pengganas Islam (?) kerana marah yang melampau dengan perbuatan majalah mingguan satira ini mempersenda Islam dan Nabi Muhammad SAW. Ia diterima sebagai benar dan betul, maka dapat dilihat bagaimana Islam dilihat sebagai raksasa hodoh yang menggerunkan lalu mencetuskan Islamaphobia.

Tetapi tunggu dulu. Sekadar sedikit pendapat daripada pemerhatian terhadap aspek, perkara dan sudut tertentu.

Lihat, insiden serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo sebenarnya lebih memperlihatkan banyak karateristik ”operasi bendera palsu” (false flag operation). Percayalah serangan ke atas pejabat majalah satira di Paris ini dilakukan oleh penyerang profesional dan berdisiplin yang lazimnya berkaitan dengan pasukan khas yang sangat terlatih; sementelahan suspek yang kemudiannya, didakwa sebagai ditangkap dan dibunuh sepertinya tidak profesional dan goyah.

Jadi cerita manusia dalam serangan ini menampakkan dua set manusia berbeza. Begini, serangan dilakukan oleh manusia lain yang amat profesional dan terlatih tetapi lepas bebas, sedang yang ditangkap dan dibunuh sekadar kambing hitam yang tidak tahu pun apa yang berlaku.

Anda percaya orang Muslim yang melakukannya? Penolong Setiausaha Perbendaharaan bagi Dasar Ekonomi, Dr Paul Craig Robert menjelaskan, seorang penyerang Muslim bersedia untuk mati semasa melakukan sesuatu serangan; tetapi dua profesional yang menyerang Charlie Hebdo berusaha melarikan diri dan mereka berjaya. Lebih hebat lagi identiti ”penyerang atau pengganas Islam” diketahui melalui dakwaan bahawa penyerang tercicir pengenalan peribadi di dalam kereta yang digunakan untuk melarikan diri. Kesilapan tercicir pengenalan diri seperti ini tidak konsisten dengan tahap profesionlisme serangan yang dilancarkan. Ia mengingatkan kepada cerita passport yang ditemui tidak musnah secara ajaibnya dalam runtuhan dua menara WTC semasa serangan 11 September. Penemuan itu kononnya ”mendedahkan identiti penyerang 9/11.”

Kesimpulan yang mudah diterima ialah bahawa pengenalan diri yang tertinggal dalam kereta yang didakwa digunakan adik-beradik Kouchi melarikan diri; kemudiannya polis mendakwa, mereka berdua sudah dibunuh, dan selepas itu tidak ada sebarang maklumat mengenai mereka berdua. Siapa penyerang profesional sebenar kini terus dilupakan.

Ada persoalan di sini, bagaimana adik-beradik yang tidak ada latar belakang agama yang kuat boleh menjadi ekstremis dan melancarkan serangan. Amat menyedihkan dua manusia yang dibesarkan di rumah anak yatim kerajaan di bandar Rennes menjadi pengganas dan dibunuh. Tidak lebih sekadar kambing hitam!

Fakta penting yang menyokong kesimpulan ini ialah laporan mengenai suspek ketiga serangan, Hamyd Mourad, yang didakwa sebagai pemandu kereta kepada dua beradik ini. Tatkala melihat namanya tersebar di media sosial, pemuda ini telah menyerah diri kepada pihak keselamatan, tetapi kemudiannya dibunuh dengan alasan beliau seorang pengganas.

Pemuda malang ini menyatakan beliau ada alibi yang kukuh tidak terlibat dalam serangan. Jika benar, maka beliau adalah perosak kepada versi rasmi serangan bendera palsu ini. Pihak berkuasa akan terpaksa menjawab ia silap berkenaan Hamyd, tetapi betul mengenai adik beradik Kouachi. Alternatifnya, Hamyd boleh dipaksa atau didera supaya membuat pengakuan yang boleh menyokong cerita rasmi.

Media Amerika dan Eropah telah mengabaikan fakta bahawa pemuda berusia 18 tahun ini telah menyerah diri untuk perlindungan daripada dibunuh sebagai pengganas kerana beliau mempunyai alibi. Anak muda ini dilaporkan menyerahkan diri tetapi alasan menyerahkan diri tidak pernah dilaporkan. Laporan yang ada hanyalah menyatakan beliau merupakan suspek ketiga serangan ke atas Charlie Hebdo. Tidak ada media utama di Amerika Syarikat yang melaporkan bahawa ”suspek ketiga” ini menyerahkan diri kerana mempunyai alibi yang kukuh, sekadar menjadi tajuk berita tanpa isi.

Dr Paul yang juga Editor Sekutu Wall Street Journal menyatakan, teka-teki juga timbul daripada cerita rasmi yang masih tidak dilaporkan mengenai tindakan membunuh diri pegawai Polis Perundangan Perancis, Helric Fredou yang terlibat dalam siasatan serangan Charlie Hebdo. Polis malang ini didakwa membunuh diri pada tengah malam semasa membuat laporan siasatannya, dan ajaibnya, ia tidak dilaporkan oleh media utama AS.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...