PM-Anwar: Burung Sebulu Terbang Beregu
A Kadir Jasin
BANYAK pihak bertanya saya mengenai tulisan (Tan Sri) Zainuddin Maidin aka Zam dalam blognya pada 19 Januari lepas bertajuk “salam terakhir Zam pada penulisan politik semasa.”
Zam sudah beri penjelasan dan saya pun sudah berpuisi dalam blog beliau. Apa pun saya terpaksa hormati keputusan beliau walaupun saya berkata kepada beliau yang beliau perlu terus berjuang.
Nampaknya Zam kecewa dan begitu tersentuh apabila teguran beliau terhadap pemerintah, khususnya kepada kawan lamanya Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, dianggap persekongkolan dengan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin.
Zam kata beliau bukan penulis upahan dan tidak pernah menjadi penulis upahan. Bagi saya itu hujah teknikal. Saya adalah penulis upahan. Saya katakan begitu kerana memang saya diupah menulis oleh syarikat saya dan saya juga diberi upah oleh akhbar dan majalah yang menyiarkan karya saya. Perdana Menteri pun diupah untuk memerintah negara. Makan upah halal tidak salah.
Cuma dalam menulis blog ini saja tidak diupah atau ditaja oleh sesiapa. Sebaliknya saya keluarkan duit sendiri dan guna masa sendiri.
Awal dan akhir, saya adalah wartawan. Saya tidak pernah merajuk, tidak pernah mogok seni dan tidak pernah tutup blog saya.
Saya menulis sejak di bangku sekolah lagi dan menjadi wartawan tanpa putus-putus sejak tahun 1969. Tahun ini masuk tahun ke-46 saya jadi wartawan dan bulan hadapan genaplah sembilan tahun blog ini.
Tidak seperti Zam dan beberapa orang wartawan lain, saya tidak tergoda dengan politik dan tidak “bercuti” daripada kewartawanan untuk menjadi Yang Berhormat atau menteri. Jadi tidak adalah apa-apa yang boleh menyebabkan saya dalam dilema, serba salah dan gusar apabila menulis mengenai politik dan orang politik.
Zam dan beberapa orang wartawan-politikus memilih untuk menjadi makhluk dua alam yang melompat antara dunia kewartawanan dan politik. Itu hak dan pilihan mereka. Saya memilih untuk kekal sebagai seorang wartawan.
Berkenaan perang media yang menyebabkan Zam turut terseret dan terpalit, pendapat saya adalah seperti berikut: