Anwar masih relevan, kata PKR kepada PAS


Saifuddin_Nasution_Ismail

Md Izwan, The Malaysian Insider

Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan Datuk Mustafa Ali hari ini yang mengatakan hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) kukuh sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Bekas setiausaha agung PKR itu mengingatkan PAS tidak harus berada dalam sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan ketua umum PKR itu.

“Isu Anwar bebas atau tidak tetap akan beri impak kepada Pakatan dan rakyat keseluruhannya, impak itu tetap relevan,” kata bekas ahli Parlimen Machang itu kepada The Malaysian Insider.

“Pada 2004, kita sudah lihat bagaimana hubungan antara parti dengan parti tidak memadai dan buktinya Barisan Alternatif (BA) tidak mampu diselamatkan dan isu negara Islam akhirnya menyebabkan perpecahan,” kata Saifuddin yang juga pengarah pilihan raya PKR.

Saifuddin juga membangkitkan prestasi parti pembangkang ketika itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya menang besar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saifuddin berkata, PAS tidak harus menafikan perkara tersebut dan membuat perbandingan dengan keputusan diperoleh PR pada 2008 dan 2013 selepas Anwar dibebaskan.

“Kita tidak perlu dalam sindrom penafian, kita harus jujur.

“Semasa pilihan raya 2008 dan 2013, pilihan raya ketika itu berlangsung ketika Anwar yang bebas dan hasilnya Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. Malah menang undi popular.”

Saifuddin berkata, keputusan mahkamah pada Februari depan penting kepada masa depan PR dan juga harapan rakyat yang mahu melihat sistem 2 parti berjaya.

“Anwar adalah simbol perjuangan reformasi dan harapan untuk alternatif rakyat, maka keputusan mahkamah nanti tetap sangat penting.

“Anwar adalah seorang personaliti yang kuat, beliau (Mustafa) tidak boleh keluarkan kenyataan simplistik sedemikian,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...