Menjelang 10 Februari….Pakatan masih gagal setuju tarikh untuk duduk semeja


Pakatan-Rakyat

(Agenda Daily) – Bab bercakap memang pemimpin-pemimpin pembangkang hebat-hebat belaka.

Apatah lagi, bercakap soal hubungan PKR, DAP dan PAS, masing-masing tidak lekang menyebut ‘kesepakatan’ bagi mengambarkan Pakatan Rakyat utuh dan bersatu padu.

Namun, hakikatnya, indah kulit dari isi.

Banyak perkara mereka sering bertelagah terutama antara DAP dan PAS.

Bagi menutup malu, mereka akan cakap perbezaan pendapat, perkara biasa dalam Pakatan yang tidak mematahkan semengat kerjasama mereka untuk menawan Putrajaya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pun nampaknya sudah tidak boleh kawal pertelagahan DAP dan PAS.

Sejak isu DAP hentam Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerap ‘ponteng’ mesyuarat dan perbalahan ekoran krisis Menteri Besar Selangor, Anwar gagal membawa pemimpin kedua-dua parti duduk sekali.

Pada Disember lalu, ketika krisis memuncak, Anwar menegaskan isu-isu berkaitan akan dapat diselesaikan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan yang dijadualkan pada Januari.

Kini, Januari sudah berlalu dan mesyuarat dimaksudkan tidak diadakan.

Tambahan pula krisis kedua parti makin meruncing dengan isu pilihanraya kerajaan tempatan (PBT).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Hadi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali tidak jujur dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), retak antara DAP dan PAS semakin melebar.

Bagaimanapun, menjelang debaran keputusan rayuan kes liwatnya pada 10 Februari ini Anwar sudah dapat dapat berselindung harapkan pimpinan Pakatan dapat duduk semeja.

Mungkin beliau sudah putus harapan bila mengakui Pakatan belum dapat bersetuju cari tarikh untuk mereka bersemuka.

Mahu tidak mahu Anwar merayu agar DAP dan PAS berdamai.

“Saya merayu mereka bersabar dan bawa semula ke meja perbincangan dan harap dapat jumpa sebelum tarikh 10 Februari.

“Tetapi malangnya kami masih belum ada persetujuan dengan tarikh (perbincangan),” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Himpunan Belia ke-12 di Ampang, Ahad.

Itulah kehebatan pemimpin-pemimpin pembangkang apabila bercakap tetapi untuk menetapkan satu tarikh bagi mencari ‘perdamaian’ tidak mampu mereka usahakan.

Mungkin, PAS tidak lagi perduli DAP yang dianggapnya angkuh.

Sekalipun Anwar sekali lagi cakap konfiden boleh lepas namun nampaknya gaya besar kemungkinan beliau kena mengadap keputusan 10 Februari tanpa dokongan solid dari Pakatan seperti masa lampau.

 



Comments
Loading...