Wujud ‘George Soros Malaysia’?


Ahmad Maslan

Kegiatan yang akan mengkayakan segelintir pihak dan pada masa sama memiskinkan orang ramai, mendatangkan kesan buruk terhadap ekonomi negara

(Free Malaysia Today) – Siasatan terperinci wajar dilakukan segera terhadap pihak yang mensabotaj ekonomi negara khususnya melibatkan spekulator mata wang yang bertindak menjatuhkan mata wang negara demi mengaut keuntungan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, besar kemungkinan di negara ini terdapat individu yang menjadi spekulator dengan menjatuhkan mata wang menerusi aktiviti menjual serta membeli mata wang secara spekulatif.

“Memang telah terbukti, George Soros mengakui sendiri menjadi spekulator mata wang di peringkat antarabangsa seperti yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998.

“Kelihatan di negara ini (ada pihak) cuba menjadi seperti George Soros iaitu dengan membuat spekulasi kejatuhan ringgit untuk menjatuhkan mata wang negara sebelum membuat keuntungan daripada nilai ringgit yang rendah,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan terdapat ada pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara pada Kursus Penulisan Penerangan Puteri UMNO, di Kuala Lumpur, semalam.

Jelasnya, kegiatan berkenaan akan mengkayakan segelintir pihak dan pada masa sama memiskinkan orang ramai sekali gus mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya terhadap ekonomi negara secara menyeluruh, lapor Utusan Online.

Sehubungan itu, Ahmad meminta supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) segera menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

“Sekiranya tuduhan itu benar dan melanggar peraturan negara, pihak serta individu terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan segera.

“Kita akan gunakan segala peraturan yang ada untuk melakukan penyiasatan dan akta-akta untuk menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan tentang kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, bukti perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...