Tindakan Anwar tak ubah macam Pak Pandir


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_SayutiOmar-1_zpsb55a77fc

Mohd Sayuti Omar

Mungkin ada yang tidak tahu cerita macam mana kisah Pak Pandir yang menyembunyikan guni garam kerana mengelakkan ianya diketahui oleh pencuri. Untuk menyelamatkan guni garamnya Pak Pandir cuba mencari helah dengan berbagai cara agar garamnya selamat.

Mulanya dia sembunyi disebalik busut kecil dalam semak. Dia ambil daunan menimbuskan guni garam berkenaan. Selesai dia menimbus guni berkenaan dia berundur setapak dua sambil mengintai-intai guni garam berkenaan, uji, apakah ianya diketahui pencuri atau tidak. Guni yang sudah ditimbus dengan daunan itu memang tidak kelihatan, tetapi Pandir tahu yang disitu ada guni garamnya.

Dia rasa tidak sedap hati dan curiga lalu dia mengambil semula dan cuba sembunyi di tempat lain. Kali ini dia menggantungkan guni berkenaan atas pokok. Sesiapa yang lalu di bawah pokok itu tidak akan nampak guni berkenaan, kecuali orang itu melenguk (jengok) ke atas.


Pandir rasa lega kerana kedudukan guninya tinggi dan selamat. Dia berundur dan seperti tadi juga dia mengintai-intai guni berkenaan. Tetapi, ah lagi sekali dia merasakan guni itu tidak selamat kerana kedudukan guni itu diketahui dan tidak terlindung dari pandangannya. Lantas dia membuat ukuran kalau dia tahu kedudukan guni itu maka pencuri juga akan tahu.

Lagi sekali Pandir mencari idea baru macam mana hendak sembunyikan guni garam berkenaan. Kali ini dia mencampak guni itu ke dalam sungai. Guni yang mengandungi garam itu tenggelam ke dasar sungai. Pandir mengintip mahu melihat guni garam berkenaan, guni itu sudah lenyap daripada pandanga matanya.

Pandir rasa kali ini garamnya selamat dan dia berlalu. Sampai masa dia merasakan keadaanya benar-benar selamat dan pencuri sudah tidak ada, Pandir mahu mengambil garamnya. Dia turun ke dalam sungai dan mengambil guni garam berkenaan. Mulanya Pandir gembira kerana guninya masih ada dan tidak hanyut. Tetapi apabila dibuka alangkah sedihnya Pandir kerana garamnya habis hilang (larut) yang tinggal hanya guni sahaja.

Mengenang cerita Pandir yang diceritakan oleh guru saya masa di sekolah rendah ini, teringatlah saya kepada telatah dan nasib Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk melindungi masalah dan perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kini disebabkan tiada keserasian dan titik temu yang jelas antara pendokongnya. Anwar sudah akan habis ikhtiar untuk berbohong kepada dirinya sendiri yang Pakatan Rakyat bermasalah dan berpotensi besar untuk hancur.

Anwar kerap kali cuba menafikan yang Pakatan Rakyat tidak retak dan pemimpinnya konon saling faham memahami. Segala tuduhan dan spekulasi dibuat pihak tertentu (media) dinafikan begitu sahaja oleh Anwar. Saya nampak Anwar seorang yang serius untuk mengekalkan Pakatan Rakyat sementara yang lain seakan main-main.

Hari ini pun dalam keadaan Pakatan Rakyat sudah tidak mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi lebih setengah tahun, Anwar masih membela dan mempertahankan kerjasama dalam Pakatan Rakyat kononnya masih seperti biasa, tiada persengketaan.

Dalam keadaan sesetengah orang Pas termasuk presidennya menunjukkan kejemuan kepada Pakatan Rakyat kerana ingin kembali kepada suami lama, Umno, Anwar masih bernasyid dan bermadah yang Pakatan Rakyat utuh dan padu. Beliau yakin ada perubahan dalam diri Abdul Hadi Awang yang jelas sikap pesimis dan skeptikal kepada Pakatan Rakyat khasnya DAP akan hadir bermesyuarat pada Ahad esok.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...