PAS akan siasat demo, Mustafa minta Zuhdi tidak ‘cirit birit’ mulut


Mustafa Ali

(The Malaysian Insider) – PAS akan menyiasat memorandum dan demonstrasi di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur Ahad lalu, kata Datuk Mustafa Ali, yang turut meminta pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP)agar jangan “cirit birit mulut dan tulisan” dalam menjalankan tugasnya.

Setiausaha Agung PAS itu berkata beliau meminjam kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mengingatkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki agar “jangan selalu sangat cirit birit mulut”.

“Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Zuhdi dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan Mustafa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang menafikan adanya komplot menggulingkan presiden PAS itu.

Menurut Zuhdi, beliau sudah bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan melihat dakwaan dalam bentuk akuan berkanun dan bukti daripada aplikasi Whatsapp berhubung perkara itu.

Beliau menggesa supaya PAS membuka siasatan terhadap kes itu.

“Penafian simplistik Salahuddin dan Mustafa yang tiada komplot untuk menggulingkan presiden PAS, sedikit pun tidak menjejaskan kredibiliti dakwaan ini.

“Lebih daripada itu, penafian kedua tokoh pimpinan kanan PAS ini hanya dilihat seperti ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru’, disebabkan dakwaan itu dalam bentuk akuan berkanun dan setiap helaian bukti-bukti print screen ini ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah,” kata Zuhdi dalam kenyataan medianya semalam.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...