UMNO sakit tua yang kritikal


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_AKadirJasin_zps02c7aee7

BN sebenarnya dalam keadaan terancam. Undi blok Cina yang dimonopoli oleh DAP/PR mustahil kembali kepada MCA atau Gerakan.

(Free Malaysia Today) – “UMNO memerlukan rawatan antipenuaan yang radikal,” kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mengenai keperluan pengukuhan Barisan Nasional (BN) yang harus bermula dengan UMNO dengan melakukan transformasikan untuk menjadikannya lebih kontemporari.

“Tanpa rawatan UMNO akan mati sakit tua,” katanya, sambil menambah, “Tetapi kalau menjalani rawatan ‘stem cell’ yang radikal, proses penuaan boleh disekat dan sel-sel baru akan tumbuh bagi memudakannya semula.”

Katanya, ia perlu bagi menarik sokongan generasi muda dan membebaskan diri daripada kongkongan hierarki, feudalisme dan dinasti yang menjadi imej buruk kepada UMNO selama ini.

Sehubungan itu katanya, UMNO perlu melakukan pembedahan besar bagi memotong dan mengubati anggotanya yang lumpuh, kelemayuh (gangrenous) dan berkanser.

“Atau UMNO boleh terus percaya kepada jampi mantera para bomoh, tukang tilik, ahli sihir dan tukang karut politik yang akan menceritakan apa yang para pembesar UMNO mahu dengar dan bukan apa yang mereka perlu tahu,” soalnya secara sinis dalam entri terbaru blog beliau, kadirjasin.blogspot.com.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Strait Times itu, ramai ahli dan penyokong UMNO sekadar mengagak dan mengandai ketika memperkatakan parti itu dalam keadaan yang membimbangkan.

“Tetapi di kalangan kepemimpinan tertinggi dan ibu pejabat UMNO mereka tahu keadaan sebenar cuma mereka tidak tahu atau tidak berani memilih rawatan yang diperlukan,” ujarnya.

Menurut Kadir, UMNO berdepan masalah besar untuk berdepan PRU-14 kerana dapatan kajian menunjukkan ia kemungkinan gagal mempertahankan 88 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya 2013 lalu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...