Amalan nepotisme segar dalam PKR


Dr Mashitah Ibrahim

Dr Mashitah Ibrahim, Sinar Harian

DALAM wawancara dengan BBC sekitar 2005, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap prinsip demokrasi, gerakan reformasi, keadilan, ketelusan dan keterbukaan. Seperti dijangka, jawapannya retorik dan sudah diulang banyak kali dalam banyak wawancara lain. Apabila ditanya tentang amalan kronisme dan nepotisme dalam PKR, termasuk meletakkan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2004, Anwar cuba mengelak dan memberi jawapan agak kabur. “That’s a close relationship, wouldn’t you say? You put your wife there and you say there’s no nepotism?” tanya Stephen Sakur, pengacara rancangan Hardtalk.

Satu dekad kemudian, reformasi yang dilaung-laungkan masih tidak berlaku. Keadaan dalaman parti belum berubah kerana amalan nepotisme masih segar dalam PKR. Perjuangan parti ini tetap berkisar pada agenda peribadi Anwar serta kepentingan keluarga dan sahabat rapatnya. Dilaporkan bahawa Wan Azizah sekali lagi dipertimbang untuk dicalonkan bagi mempertahan kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dikosongkan secara undang-undang kerana Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 10 Februari lalu. Wan Azizah pernah mengosongkan kerusi ini kononnya untuk menjaga cucu dan memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi sama, seterusnya menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang. Selain Wan Azizah, anaknya Nurul Nuha juga disebut-sebut sebagai bakal calon.

Walaupun di dalam penjara, Anwar masih dirujuk untuk membuat keputusan penting. Pemimpin PKR Kedah, Ishak Man mengkritik cara Anwar membuat keputusan ala diktator memilih ahli keluarga sendiri untuk bertanding pilihan raya kecil atau memegang jawatan utama dalam parti. Beliau membidas sikap tidak adil ini kerana membelakangkan pilihan dan suara ahli parti. Penyokong parti dan Pakatan Rakyat masih ingat sewaktu kemuncak krisis perebutan kuasa di Selangor tahun lalu bagaimana Anwar membuat keputusan unilateral menghantar hanya nama isterinya sebagai calon menteri besar walaupun Sultan Selangor menitahkan tiga nama dihantar kepada baginda untuk dipertimbangkan.

Amalan nepotisme dalam PKR dan sikap diktator Anwar juga dikecam Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Beliau pernah menyarankan Anwar agar bersara daripada politik kerana sudah lama rakyat Malaysia dilibatkan dengan agenda peribadi Anwar. Dr Zuhdi mengingatkan bagaimana Anwar melancarkan Operasi 16 September beberapa tahun lalu tanpa berbincang dengan Pas sebagai parti sekutu dalam PR untuk menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang telah dipilih rakyat secara sah. Katanya, Pas masih terkesan dengan tindakan Anwar yang mengumumkan Baru Bian sebagai Ketua Menteri Sarawak jika PR menang dalam PRU13, pencalonan Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah tanpa mengambil kira strategi bersama PR di Johor serta Manifesto PR 2013 di Shah Alam tanpa menghiraukan input dan cadangan Pas sehingga tertinggal isu padi, nelayan dan Felda.

Siapa boleh lupa pengumuman Langkah Kajang yang dibuat tanpa pengetahuan atau perbincangan dengan parti sekutu lain semata-mata untuk meletakkan dirinya, kemudian isterinya, sebagai calon bertujuan merebut kuasa untuk mengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Dr Mohd Zuhdi berkata, Langkah Kajang yang bertujuan mengambil jalan pintas untuk ke Putrajaya telah menghancurkan kepercayaan rakyat dan mengkhianati sokongan pengundi. “Pas bersabar dalam perjuangan politik jatuh bangun. ALLAH mentakdirkan bahawa masa kita (untuk menawan Putrajaya) belum sampai walaupun PR menang undi popular,” tegas Dr Mohd Zuhdi, yang turut mengingatkan Anwar (dan pemimpin DAP) bahawa Pas mungkin memilih untuk keluar Pakatan Rakyat untuk elak bersekongkol dengan amalan mungkar dalam PKR dan DAP.

Ramai yang masih ingat pendirian Dr Mohd Zuhdi menentang Anwar yang didakwanya mengguna wartawan akhbar portal pembangkang membuat ‘serang hendap’ terhadap Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang kerana tidak menyokong isterinya menjadi Menteri Besar Selangor, malah mengkritik prestasi lembab Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen.

 



Comments
Loading...