Kerajaan Perpaduan: PAS Harus Memilih Rakan
Sebanyak mana kerusi pun yang dimenangi PAS, mereka tidak akan berjaya meluruskan jalan Pakatan Rakyat ke arah Islam kerana sesungguhnya DAP dan PKR itu pada hakikatnya adalah parti-parti sekular.
Megat Ibrahim
Apabila disebut sahaja hukum hudud sudah tentu perkara pertama yang terbayang di minda adalah Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Inilah parti yang sudah berpuluh tahun memperjuangkan hukum hudud dikuatkuasakan di bumi Malaysia ini – bumi yang telah Allah kurniakan dengan nikmat bilangan umat Islam yang ramai. Bukan sahaja ramai malah membentuk majoriti dari segi anutan agama di negara bertuah ini.
Namun begitu, umat Islam yang terdiri dari 60% rakyat Malaysia ini sering bertelagah sesama sendiri. Yang Muslim-nasionalis bertelagah bersama Islamis. Yang Islamis pula tidak senang dengan pakatannya bersama Melayu sekular yang dibuang Muslim-nasionalis hampir 20 tahun dahulu. Inilah hakikatnya. Nikmat iman dan kalimah syahadah yang disebut setiap hari telah diberikan Allah. Nikmat rakan-rakan yang seiman dan sekalimah yang begitu ramai juga telah diberikan Allah tetapi umat Islam di Malaysia ini tidak nampak akan nikmat ini malah bertelagah pula sesama sendiri.
Dahulunya alasan para pemimpin PAS untuk melawan UMNO adalah kerana UMNO menolak hukum hudud. UMNO itu mungkin UMNO Tun Hussein Onn atau UMNO Tun Dr. Mahathir. Sesebuah parti itu bukanlah seperti manusia di mana nyawanya hanya satu sepanjang hayatnya. Hakikatnya sesebuah parti itu adalah gabungan ramai manusia yang datang dan pergi. Tun Dr. Mahathir telah datang sebagai jiwa dan denyutan jantung UMNO dan Tun Dr. Mahathir juga telah beredar dari menjadi jiwa UMNO.
Tiada bezanya Dato’ Nik Abdul Aziz datang sebagai jiwa dan denyutan jantung PAS. Beliau juga telah beredar dan kembali ke rahmatullah. Apa-apa sejarah dalam hubungan kedua-dua orang ini kita anggaplah ia sekadar sejarah antara dua insan dan bukanlah sebagai hubungan antara dua parti. Sedangkan warga Mekah dan warga Madinah yang pernah berbunuh sesama sendiri boleh bersatu di bawah satu kalimah syahadah apatah lagi antara dua parti yang solat bersama, berbuka puasa bersama.
Kini UMNO yang berpresiden baharu, bertimbalan presiden baharu, bernaib presiden baharu telah bersetuju untuk menyokong usul PAS di Parlimen yang akan membenarkan penguatkuasaan hukum hudud di negeri Kelantan. Sesudah itu, ada pula suara sumbang yang menyuarakan alasan mereka untuk menentang UMNO adalah kerana pemimpin UMNO tidak amanah ataupun “corrupt” dalam mentadbir. Sebab ini digunakan sebagai alasan membentuk kerajaan dengan parti-parti sekular DAP dan PKR.
Para pemimpin PAS yang ingin membentuk kerajaan bersama parti-parti sekular DAP dan PKR ini harus renungkan – adakah DAP dan PKR jika membentuk Kerajaan Persekutuan bersama PAS akan membenarkan PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan? DAP merisaukan langkah kecil di Kelantan ini menjadi langkah pertama bagi banyak lagi langkah-langkah kecil yang akan mengislamkan seluruh Malaysia. Inilah sebabnya walaupun sebelum membentuk Kerajaan Persekutuan lagi mereka sudah bantah habis-habisan rancangan PAS itu.
Tambahan lagi, DAP telah membayangkan kepada para pengundinya bahawa mereka akan memastikan hak warga bukan-Islam akan menjadi sama rata dengan hak orang Islam. Dasar Ekonomi Baharu yang memperkasakan pelajaran dan ekonomi Bumiputera yang majoritinya orang Islam miskin boleh dibayangkan oleh kita akan dihapuskan. Para pelajar bandar yang majoritinya penyokong DAP akan memenuhi universiti-universiti awam kerana mereka lebih beruntung kerana mendapat keputusan SPM yang lebih cemerlang berbanding Bumiputera di luar bandar kerana hasil didikan ibu bapa mereka, mereka sudah boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih, mereka boleh membaca buku-buku dan akhbar Bahasa Inggeris yang memudahkan mereka memahami matapelajaran Kimia, Sejarah, Fizik dengan lebih mudah.
Belum membentuk Kerajaan Persekutuan, lagi penyokong mereka (Eric Paulsen) sudah mula mempersoalkan inti khutbah Jumaat. Belum membentuk Kerajaan Persekutuan lagi, mereka sudah mula mempersoalkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (Tony Pua memperlekehkan fatwa pengharaman umat Islam menyambut Hari Valentine).
Matlamat perjuangan hudud oleh PAS adalah untuk melengkapkan Maqasid Shari’ah. Harus diingatkan bahawa matlamat Maqasid Shari’ah itu adalah untuk memelihara lima perkara-
Iman
Nyawa
Keturunan
Akal
Harta
Ada hikmahnya turutan pemeliharaan lima perkara ini sebegitu rupa. Iman mendahului nyawa dan nyawa mendahului akal. Akal pula mendahului harta. Hikmahnya seperti berikut:
Tanpa harta tetapi berakal, seseorang Muslim itu boleh menggunakan akalnya untuk beroleh harta dengan bekerja atau berniaga. Tetapi jika seseorang Muslim itu berharta tetapi tidak berakal (gila), harta itu tidak akan menjadikannya waras.
Ada sebabnya iman itu mendahului nyawa, keturunan, akal, dan harta. Andainya seseorang itu bernyawa (hidup), beranak cucu yang ramai, berakal cerdik, berharta tetapi tidak beriman dengan Allah dan Rasulnya, dia hanya beruntung di dunia yang sementara tetapi kerugian kelak di akhirat yang kekal. Anak cucunya yang ramai juga tidak akan beriman melainkan ada orang yang beriman mengajak mereka ke arah keimanan. Inilah sebabnya Iman mendahului yang nyawa, keturunan, akal, dan harta.
Dalam usaha PAS memperjuangkan shari’ah dan menentang rasuah, saya dengan penuh hormatnya menjemput para pemimpin parti hebat ini merenungkan seketika matlamat rakan-rakan seperjuangan mereka. Iman dan Aqidah itu adalah perkara yang paling penting dalam Maqasid Shari’ah. Perjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat MUNGKIN boleh melindungi harta dari ketirisan dan salahguna yang dikatakan menjangkiti pentadbiran pimpinan UMNO tetapi harta yang sama itu juga akan ditadbir pula oleh parti-parti sekular DAP dan PKR yang belum tentu akan menggunakan harta itu ke arah memelihara keimanan dan aqidah umat Islam.
Apabila PAS membentuk Kerajaan Persekutuan bersama DAP dan PKR, sebanyak mana kerusi pun yang dimenangi PAS, mereka tidak akan berjaya meluruskan jalan Pakatan Rakyat ke arah Islam kerana sesungguhnya DAP dan PKR itu pada hakikatnya adalah parti-parti sekular.
Contoh yang terbaik yang dapat kita lihat adalah di Selangor. Walaupun PAS telah dimenangkan oleh rakyat dengan kerusi DUN yang paling banyak, mereka tetap juga ditolak ke tepi oleh DAP dan PKR. Sudahlah calon Menteri Besar PAS ditolak, satu jawatan exco pula ditarik balik. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Walau sebanyak mana pun kerusi yang dimenangi PAS, kerusi gabungan parti-parti sekular DAP dan PKR akan sentiasa lebih banyak dan sesungguhnya kedua-dua mereka adalah parti sekular yang berpakat dengan sebuah parti Islam.
Dalam Pakatan Rakyat, PAS mungkin boleh memelihara harta tetapi akan menjadi sukar bagi mereka memelihara Iman dan Aqidah umat Islam Malaysia kerana PAS itu hanyalah satu pertiga dari Pakatan Rakyat. Dalam Maqasid Shari’ah pula harus diingati bahawa Iman itu mendahului harta.
Kita boleh bayangkan rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di RTM akan dipersoalkan kerana wang cukai yang dibayar oleh kebanyakannya pemilik perniagaan bukan-Islam digunakan untuk menyebarkan agama Islam tetapi agama lain tidak pula diberikan slot rancangan yang serupa. Persoalan penyebaran al-Qur’an sudah pun dibangkitkan oleh Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao Malaysia (MCCBCHST).
Kita boleh bayangkan pemajuan sistem kewangan Islam mungkin tidak akan menjadi keutamaan bagi pentadbiran pimpinan parti-parti sekular kerana bagi parti-parti sekular, sistem kewangan Islam itu tiada beza dari sistem kewangan riba’ yang sedia ada sedangkan riba’ itu merupakan antara tujuh dosa besar.
Adakah PAS sanggup mengambil risiko membentuk Kerajaan Persekutuan dengan dua parti sekular yang dominan (yang telah pun berganding tangan mengenepikan PAS di peringkat negeri Selangor) atau dengan satu parti Muslim-nasionalis yang dominan iaitu UMNO?
Perlindungan Iman itu mendahului harta dalam Maqasid Shari’ah. UMNO lah parti yang walaupun dikatakan tiris dan tidak amanah menguruskan harta negara, telah menyokong penubuhan Lembaga Tabung Haji yang kini menjadi tabung pengurusan harta yang beraset berbilion ringgit dan berkepentingan seluruh dunia. UMNO lah parti yang mendukung pemajuan sistem kewangan Islam di Malaysia. UMNO jugalah yang memutuskan bahawa kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbirannya menggunakan khidmat perbankan Islam bebas riba’ dalam menguruskan perbendaharaan negeri masing-masing.
UMNO lah parti yang membina Masjid Putra yang indah di hadapan Perdana Putra (Jabatan Perdana Menteri), mengingatkan pengunjung bahawa Islam itu sebegitu rapat dengan pentadbiran negara (sesuatu yang di luar jangkauan jika DAP mengisii satu pertiga jawatan kabinet). UMNO lah yang telah menubuhkan Petronas sehinggakan ia menjadi syarikat petroliam dan gas tersohor dunia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan siswa dan siswi Muslim di Malaysia.
UMNO lah parti yang membenarkan penyiaran rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di kaca televisyen melalui saluran rasmi Kerajaan Malaysia, RTM. UMNO lah parti yang telah menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah di Perak, dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Institusi-institusi ini jugalah yang melahirkan ramai ahli-ahli PAS terpelajar yang faham akan keindahan shari’ah.
Perkara-perkara seperti ini saya katakan adalah hasil UMNO kerana UMNO merupakan satu-satunya parti yang dominan dalam Barisan Nasional yang mentadbir negara. Seandainya Pakatan Rakyat mentadbir negara, PAS tidak akan dapat menjadi dominan dalam Pakatan Rakyat sepertimana UMNO dominan di dalam Barisan Nasional.
Perjuangan PAS adalah menegakkan Islam dan bukannya menjadikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. DAP dan PKR tidak akan membantu PAS dalam perjuangan menegakkan Islam kerana perjuangan mereka berbeza. Perjuangan menegakkan Islam itu tidak semestinya melalui Pakatan Rakyat. Ia juga boleh dilaksanakan menerusi perpaduan dan kerjasama bersama insan seagama, seiman, sekalimah syahadah yang di dalam UMNO.
PAS tidak harus dibubarkan tetapi harus bekerjasama dengan UMNO sebagai dua parti Muslim yang hebat, bersatu suara mempertahankan Islam dan memartabatkan pelajaran dan ekonomi umat Islam.
Andaikata UMNO itu dikatakan tidak amanah dan rasuah, rapatilah UMNO itu, nasihati UMNO itu, awasi UMNO itu agar menjauhi perkara mungkar. Melindungi harta itu penting tetapi melindungi iman itu lebih penting. Sesungguhnya hasil nasihat dan dakwah PAS selama ini, UMNO sudah bersetuju untuk menyokong perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. Semoga dengan kerjasama PAS dan UMNO, PAS dapat mendidik saudara-saudari dalam UMNO dengan lebih mendalam tentang hukum hudud.
YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib pada bulan Julai 2014 pernah mempersoalkan mengapa umat Islam harus bertelagah sesama sendiri dan berbunuhan di Timur Tengah sehinggakan Zionis bertepuk tangan sambil menindas rakyat Palestin dan mencabuli Al-Quds. YAB Perdana Menteri mengajak umat Islam bersatu di seluruh dunia untuk berhadapan dengan musuh bersama iaitu Zionis. Kini saya mengajak YAB Perdana Menteri bermula dengan menjemput saudara sebangsa, sebahasa, seagama di dalam PAS untuk berganding tangan bersatu memartabatkan Islam baik di dalam negeri mahupun di seluruh dunia.
Umat Islam yang membentuk minoriti di negara-negara Barat terpaksa bersatu dalam mempertahankan hak mereka oleh sebab bilangan mereka yang kecil. Kita pula yang telah diberi nikmat oleh Allah bilangan yang ramai di negara Malaysia janganlah memilih untuk berpecah belah. Wallahu a’lam.