Siapa bos? : Ini pendirian PAS Selangor


Iskandar_Abdul_Samad

(Agenda Daily) – Sekalipun ramai puak Anwarinas dan profesional ‘bersarang’ di Selangor namum PAS negeri itu tidak main sorok-sorok tegas mahu kepimpinan parti itu terus diterajui oleh puak ulama.

Hal ini disuarakan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad sendiri Selasa.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata demikian ketika ditemui wartawan di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam.

Iskandar meminta ahli PAS Selangor memberi keutamaan terhadap prinsip kepimpinan ulama pada pemilihan jawatan tertinggi parti sempena muktamar PAS Jun depan.

Katanya prinsip itu perlu diteruskan sebab ia telahpun menjadi asas perjuangan parti itu selama ini sebagaimana diputuskan kepimpinan muktamar parti sejak 1982 lagi.

“Dalam pimpinan ulama, ada dua interpretasi iaitu sama ada golongan ulama sendiri memimpin parti ataupun semangat kepimpinan ulama dibawa dalam pentadbiran (parti),” katanya.

Beliau diminta pandangannya sama ada anggota PAS di peringkat kawasan di negeri ini mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden parti pada pemilihan Jun depan.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor berkata PAS Selangor menyerahkan kepada bahagian parti masing-masing di negeri itu untuk mengemukakan nama calon yang difikirkan sesuai untuk pemilihan peringkat pusat.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan parti, Iskandar berkata setakat ini beliau tidak mempunyai hasrat sedemikian.

 



Comments
Loading...