Menteri Besar dan Wakil Rakyat wajib isytihar harta secara terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Selangor menyambut baik saranan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkenaan pengisytiharan harta oleh Dato’ Menteri Besar Selangor. Namun begitu, SAMM Selangor juga menggesa agar Datuk Seri Syed Ali untuk turut sama mengisytiharkan hartanya agar rakyat dapat meneliti keadaan kewangan seorang Ketua Bahagian UMNO.
SAMM Selangor tertanya-tanya mengapakah Dato’ Menteri Besar Selangor masih berdiam diri? Hanya Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Pokok Sena yang tampil menyatakan kesediaan mereka untuk mengisytiharkan harta.
Sebagai seorang Wakil Rakyat apatah lagi sebagai orang Nombor 1 dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan telus, Dato’ Menteri Besar perlu berani untuk tampil mengisytiharkan harta beliau dan isterinya, malah beliau juga perlu mensyaratkan setiap anggota Exco, Wakil Rakyat dan Ahli Majlis PBT di Selangor membuat tindakan serupa.
Namun, sedikit lucu apabila hari ini Ahli Parlimen Pandan pula membuat kenyataan akan mengisytiharkan harta beliau di lobi Parlimen nanti. Sedangkan kenyataan ini ditujukan kepada Menteri Besar Selangor tetapi orang lain pula yang memberikan respons.
SAMM Selangor dengan ini mencabar Menteri Besar, Anggota Exco, Wakil-Wakil Rakyat dan Ahli-Ahli Majlis PBT untuk mengisytiharkan harta secara terbuka bagi menunjukkan semangat ketelusan dan kewibawaan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Megat Khairul Anuar
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor