Bukan batal KIDEX, tetapi batal pembangunan – Azmin
Soal tanah, soal kelulusan, itu kuasa kerajaan negeri.
(Free Malaysia Today) – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan pernah mengumumkan pembatalan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) seperti diumumkan sebelum ini, sebaliknya hanya membatalkan pembangunannya.
Mohamed Azmin berkata, Kementerian Kerja Raya telah pun dimaklumkan mengenainya dan beliau ada menerima surat daripada kementerian itu untuk berbincang secara lebih lanjut.
“Ada dua beza, bukan batalkan projek tetapi batalkan pembangunan kerana itu adalah bidang kuasa kerajaan negeri. Soal tanah, soal kelulusan, itu kuasa kerajaan negeri.
“Kita membatalkan pembangunan kerana ia tidak mematuhi syarat-syarat maka Menteri Kerja Raya menulis surat memaklumkan bahawa kementerian telah diberitahu bahawa pembangunan ini dibatalkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), lapor Utusan.
Sehubungan itu, beliau bercadang bertemu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai pembangunan infrastruktur pengangkutan secara menyeluruh khususnya di negeri ini.