41 negara sahkan hadiri ijtima’ antarabangsa


Tuan-Ibrahim-Tuan-Man

(Bernama) – Sebanyak 41 buah negara telah mengesahkan kehadiran pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 19 hingga 22 Mac ini di dua lokasi iaitu di Kuala Terengganu dan Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Induk program itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan itu menyasarkan kehadiran sebanyak 200,000 pengunjung yang akan membicarakan isu-isu yang melibatkan pembebasan Aqsa dan kesatuan di antara gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia.

“Perhimpunan ini mencerminkan perpaduan dalam ummah dan melibatkan semua parti politik di negara ini. Kami turut menjemput mufti-mufti di seluruh negara dan mengalu-alukan semua pihak untuk turut serta dalam perhimpunan ini.

“Bentuk pengisian akan dilakukan adalah dalam dua format; tertutup dan terbuka,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas, pada sidang media di sini hari ini.

Seminar tertutup yang melibatkan pemimpin gerakan Islam sedunia akan diadakan di Prinz Park Resort untuk membincangkan tiga isu utama iaitu pelarian di negara-negara Islam, isu pembebasan Palestin dan perbincangan mengenai soal pendekatan dakwah di negara-negara yang sedang berkembang pesat di Asia Tengah.

“Bagi format terbuka pula, pihaknya telah menjemput tokoh-tokoh negara Islam  di Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia untuk memberi ceramah dan membuat pengisian dalam bentuk kuliah,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata expo dan pameran yang melibatkan beberapa buah negeri dan pertubuhan akan dibuka untuk pengunjung yang datang ke perhimpunan tersebut.

“Kami akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik yang beroperasi selama 24 jam untuk memudahkan pergerakan pengunjung yang datang ke perhimpunan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ribuan terima kasih turut diucapkan kepada pihak polis yang akan menyediakan pos keselamatan untuk mengawal keadaan dan keselamatan pengunjung,” katanya.



Comments
Loading...