Guan Eng : Hadi Awang pemimpin tidak bermaruah
(Rakyat News) – DAP memutuskan tidak boleh bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan tindakan PAS mahu membentang Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan hudud di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Abdul Hadi bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah serta tidak menghormati persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan dalam isu itu sebelum ini.
“DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh kerana Abdul Hadi adalah pemimpin PAS dalam pakatan itu, beliau berkata, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan pakatan dalam keadaan terawang-awang.
“DAP akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan,” katanya.
Guan Eng turut mendakwa pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja berkaitan isu hudud, malah dalam isu pencalonan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar berlarutan dan hampir menjatuhkan kerajaan Selangor.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menegaskan partinya menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.
Malah, beliau menjelaskan kesemua 37 Ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-undang Persendirian berkenaan di Parlimen yang dijangka dibentangkan Abdul Hadi sendiri.
Guan Eng turut mendakwa pengundi yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama yang dibawa pakatan itu.