Tidak salah umat Islam tolak hudud PAS, kata mufti Perlis


20130702asri08

(The Malaysian Insider) – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak salah umat Islam tidak bersetuju atau menolak hukum hudud yang cuba dilaksanakan PAS di Kelantan, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan enakmen sebulat suara tanpa bantahan.

Menurut Asri, walaupun umat Islam tidak boleh membantah asas hudud kerana ia merupakan hukum Allah, ‎mereka masih bebas mengutarakan cadangan, pandangan atau “ijtihad” lain.

“Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

“Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” kata Asri dalam satu kenyataan di laman blognya semalam.

Beliau berkata, umat Islam perlu mengetahui perincian undang-undang syariah itu kebanyakannya tidak wujud dalam Al-Quran mahupun Sunnah.

Tambahnya perincian mengenai hudud mungkin terdapat dalam beberapa nas (dalil) tetapi dari segi perbincangan hukum fekah, ia boleh diandaikan pelbagai tafsiran.

“Ini yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).

“Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar,” katanya.

Oleh kerana terdapat pelbagai tafsiran dalam nas tersebut, terdapat perbezaan dalam perincian hukum seperti kadar curian, ‎suasana undang-undang itu dilaksanakan dan sama ada taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, kata Asri.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...