Guan Eng ‘hilang akal’, ‘tidak siuman’, kata PAS Wilayah Persekutuan


Mohamad Noor Mohamad

(The Malaysian Insider) – Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad melihat tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mengekalkan hubungan dengan parti Islam itu umpama individu yang “hilang akal”.

Mohamad Noor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan ketua menteri Pulau Pinang itu adalah “biadap” dan “tidak reti bahasa”, dan hanya dikeluarkan oleh individu yang “tidak siuman”.

“Kenyataan itu satu kenyataan biadap dan dia tidak reti bahasa, dan PAS Wilayah lihat kenyataan itu dikeluarkan oleh orang yang tidak siuman.

“Mana mungkin putus hubungan dengan Hadi, sebagai presiden, tapi pada masa sama kekal hubungan dengan PAS, tidak rasional itu, orang tiada akal yang kata begitu,” kata Mohamad Noor.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan daripada kepimpinan DAP yang mengkritik Hadi juga dilakukan kerana mereka rasa “bongkak” dan “sombong” kerana jumlah kerusi yang dimenangi rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu lebih banyak berbanding PAS dalam Pilihan Raya Umum 2013.

“Saya melihat pimpinan DAP sudah semacam bongkak, sombong, kerana menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dia kena ingat, kemenangan itu sokongannya daripada ahli PAS. Jangan rasa yakin untuk pilihan raya umum akan datang kalau ahli PAS tak menyokong,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Noor menggesa agar DAP menarik balik kenyataan-kenyataan mereka sekiranya masih lagi bersama dalam PR, dan jika gagal berbuat demikian, DAP harus meninggalkan PR.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...