Guan Eng umpama peluru kosong – Hadi Awang


lim-hadi

Kita dahulukan orang Islam dalam aspek dan ruang yang kita boleh laksanakan (hukum) syariah untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam.

(Free Malaysia Today) – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘memulangkan paku buah keras’ kepada DAP yang memutuskan hubungan dengan beliau apabila menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng umpama ‘peluru kosong’.

Katanya, segala `serangan’ Guan Eng tempoh hari termasuk menganggap dirinya tidak bermaruah, tidak jujur dan pengkhianat langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap beliau.

Malah tegas Abdul Hadi, perbuatan DAP yang dianggap biadab dan melampau oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS itu juga tidak akan mematahkan semangat perjuangan beliau serta PAS untuk kepentingan semua kaum di negara ini.

“Kenyataannya peluru kosong, tidak kena sasaran kerana segala tindakan PAS mengambil kira kepentingan semua kaum yang ada di negara ini, berbanding DAP yang mementingkan satu kaum saja.

“Dia (DAP) tak ambil hati orang Islam yang merupakan 60 peratus daripada penduduk (Malaysia), dia kena sedar dan orang Islam jangan diapa-apakan kedudukan mereka. Usul yang kita bawa ini (Hudud) tak sentuh orang bukan Islam, kenapa dia timbulkan isu ini?.

“Kita dahulukan orang Islam dalam aspek dan ruang yang kita boleh laksanakan (hukum) syariah untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam agar melihat apa itu Islam. Adakah dia takut yang kita nak tunjukkan Islam? Jangan takut,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng Selasa lalu bahawa DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan Hudud di Kelantan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, Guan Eng tidak berhak untuk menilai dirinya sama ada mempunyai maruah atau tidak, sebaliknya terserah kepada rakyat untuk menilai.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...