Masa depan PAS dalam PR diketahui esok


Mujahid Yusof Rawa

Kenyataan DAP yang menempelak Abdul Hadi Awang sebagai satu tindakan yang menyedihkan kerana beliau diumpamakan bapa kepada semua ahli Pas.

(Free Malaysia Today) – Masa depan PAS sama ada akan terus kekal atau keluar dari Pakatan Rakyat akan diketahui dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti itu berikutan serangan bersifat peribadi oleh DAP ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu tindakan DAP Sarawak yang mengeluarkan diri daripada gabungan pembangkang juga akan dibincangkan serta dijangka mempengaruhi keputusan mesyuarat.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, DAP tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang memburukkan imej dan martabat Presiden PAS.

Tegasnya, kenyataan DAP yang menempelak Abdul Hadi Awang sebagai satu tindakan yang menyedihkan kerana beliau diumpamakan bapa kepada semua ahli Pas.

Beliau menjelaskan, mesyuarat tersebut akan menetapkan pendirian parti berhubung masa hadapan dalam pakatan pembangkang susulan tindakan DAP Sarawak memutuskan hubungan dalam PR.

“Mesyuarat itu juga akan membincangkan sikap pimpinan DAP yang menentang Presiden PAS (Abdul Hadi),” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Abdul Hadi selepas mendakwa Presiden Pas itu tidak jujur dan tidak bermaruah.

Guan Eng berkata, DAP kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin PR kerana bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

Menurutnya, DAP juga akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi.

Mujahid berkata, tindakan DAP keluar dari PR Sarawak amat dikesali dan dilihat hanya memburukkan keadaan termasuk meretakkan hubungan antara kedua-dua pihak.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...