Berapa umur Islam anda?


image

Saya sering bermonolog, apakah saya kebetulan dilahir Islam atau saya sendiri yang mahukan Islam?

Muhamad Mat Yakim, Sinar Harian

UMUR saya 44 tahun. Pada usia ini, saya dihadapkan dengan satu pertanyaan, berapa pula umur Islam saya? Sejak itu,  saya sering bermonolog, apakah saya kebetulan dilahir Islam atau saya sendiri yang mahukan Islam?

Andai  takdirnya saya lahir sebagai bukan Islam, apakah saya akan mencari Islam, pelajari Islam dan memilih Islam sebagai agama pegangan?

Dalam keadaan itu, bagaimana jika tidak ada sesiapa yang datang beritahu saya bahawa Islam itu agama yang benar dan hanya Islam agama di sisi ALLAH?

Tidak kira apa sebabnya, kawan-kawan saya yang Islam tidak pun bercerita kepada saya mengenai kebenaran Islam dan keesaan ALLAH,  apa lagi untuk mempengaruhi saya berhijrah ke agama mereka. Dengan itu, tersesat dan ke nerakalah saya selama-lamanya. Wal iyazubillah!

Ini satu andaian paling menggusarkan yang menerjah fikiran saya sejak minggu lalu.

Sekarang saya terfikir, dalam keadaan diri sudah diberi nikmat Islam, saya tidak pernah sedar bahawa saya sebenarnya berhutang besar kepada ALLAH kerana tidak pernah pun berusaha untuk menceritakan kebenaran dan kebaikan Islam kepada rakan bukan Islam saya, yang mungkin akan menyalahkan saya di akhirat kelak. Mengapa ya, saya jadi begitu?

Banyak sebabnya. Satunya kerana mungkin saya berasa harus menghormati mereka, maka penghormatan itu adalah dengan tidak menyentuh hal pegangan agama mereka. Lalu saya pun melarang diri daripada bercerita apa-apa mengenai Islam yang mungkin akan dianggap sebagai cubaan untuk mengislamkan mereka.

Kedua, mungkin kerana saya menganggap diri saya tidak cukup ilmu, lalu saya mengelak awal daripada bercakap mengenai Islam yang mungkin akan membawa kepada perdebatan.

Saya bimbang kalau-kalau saya kalah debat akibat kejahilan saya sendiri yang mungkin akan menyebabkan persepsi negatif selama-lamanya oleh rakan-rakan saya terhadap agama saya yang benar lagi suci ini.

Yang ketiga, Islam kini dinilai oleh bukan Islam melalui peri laku orang Islam. Sebenarnya, ada perbezaan besar antara Islam dengan orang Islam. Islam agama yang maha suci, maha benar tetapi orang Islam, terutama persepsi mengenai akhlaknya, kita sendiri sama-sama faham!

Apapun, sebelum pergi kepada hal yang sejauh itu bagi orang sejahil saya, saya kira saya harus berbalik kepada hal Islamnya saya.

Zahirnya, saya Islam baka. Lahir daripada ibu bapa Islam, datuk nenek Islam yang entah berapa generasi di atas saya berhijrah daripada agama bukan Islam kepada Islam.

Islam adalah sebesar-besar nikmat dalam hidup saya tetapi jika takdirnya saya lahir sebagai bukan Islam, apakah saya akan mencari Islam, mempelajari Islam dan ‘masuk’ Islam sebagai manifestasi mahunya saya kepada Islam?

Sekarang, saya mahu sedarkan diri saya bahawa saya benar-benar mahukan Islam, mahu belajar ilmu-ilmu Islam, beramal dengan Islam dan menghayati Islam sepenuhnya. Biarlah dalam usia yang sudah 44 tahun,  saya baru ‘masuk’ Islam.

Kiranya ini masih belum terlambat selagi tuhan masih izinkan saya untuk bernafas.

Marilah kawan-kawan, kita suarakan pada diri tekad yang suci ini dari hati yang tulus ikhlas. Marilah kita yakinkan diri bahawa diri kita bukan Islam yang kebetulan.

Sebenarnya, kita daripada golongan Islam yang baka ini, ramai yang ambil mudah hal Islamnya kita. Ambil mudah sebab kita pun dapat dengan mudah, daripada ibu bapa kita yang sudah sedia Islam. Apa yang kita dapat dengan mudah sememangnya sering tidak begitu dihargai.

Baru-baru ini, seorang pendakwah saudara baru menempelak kita Islam baka kerana tidak cukup berusaha untuk menyampaikan mesej Islam kepada orang bukan Islam.

Katanya, dia sendiri ‘masuk’ Islam  kerana hendak berkahwin dengan gadis Islam, bukan kerana didakwah oleh orang Islam. Itupun setelah lapan tahun dia berkira-kira termasuk mempersoalkan mengapa dia harus tukar agama untuk berkahwin dengan orang Islam?

Mengapa tidak dibenarkan untuk kekal dengan agama asal dan nanti apabila sudah dapat anak, mereka sendirilah buat keputusan agama apa yang mahu dipilih sebagai anutan sama ada agama ibu atau ayah, ataupun yang lain?

Akhirnya dia ‘masuk’ Islam juga.Setelah itu dia bersungguh-sungguh mendalami Islam dan pengalaman sebagai bukan Islam memudahkan dia untuk buat perbandingan. Perkara pertama yang menambat hatinya ialah  ayat-ayat surah al-Ikhlas, yang diajar kepadanya oleh ustaz mualaf juga.

Dialah yang mengingatkan saya supaya ‘masuk’ Islam dengan sebenar-benarnya. Walaupun mualaf, umur Islamnya  lebih tua daripada saya!



Comments
Loading...