Kisah Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam


Khalid-Abdul-samad

Bermacam macam andaian telah dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah tidak benar.

Khalid Samad

Semenjak berita berhubung mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam tersebar di alam maya, ramai telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses pemilihan pimpinan pusat yang telah berlaku. Mereka hairan dengan keputusan pencalonan Presiden di mana TGHH telah dipilih tetapi dengan majoriti hanya 6 undi. Mereka yang berhubung dan bertanya boleh dikatakan berakhlak berbanding dengan yang tidak berhubung untuk bertanya tetapi tetap menyerang saya mengenainya!

Bermacam macam andaian telah dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah tidak benar. Kadang-kadang saya rasakan mereka yang berani membuat andaian dan menyebar luas andaian-andaian ini, tanpa mengetahui hujung pangkal, bagaikan manusia yang tidak takut pada dosa. Walaupun nama mereka disangkutkan gelaran ‘ustaz’ di depannya. Itulah bezanya di antara orang berilmu dan orang yang menghayati ilmunya. Sekadar tahu dosa memfitnah, tidak bererti tidak menaburkan fitnah. Kerana mereka sekadar tahu, tetapi tidak menghayatinya. Jauh berbeza sifat mereka dengan golongan ustaz tahun 80an yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai PAS.

STATUS SAYA DAN PAS KAWASAN SHAH ALAM

Pada mulanya, perlu saya sebutkan, saya tidak lagi merupakan YDP PAS Kawasan Shah Alam. Pada pemilihan 2013 saya tidak bertanding kerana saya telah menjawat jawatan YDP Shah Alam sejak 1997, iaitu selama 16 tahun! Sudah tiba masa saya beri laluan kepada mereka yang telah saya pimpin selama ini untuk mengambil alih. Pada 2011, jawatan kuasa PAS Kawasan dianggotai 3 mantan Ketua Pemuda Kawasan. Giliran mereka pula untuk menggalas cabaran sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam. Lagi pun saya telah dipilih kembali sebagai AJK PAS Pusat pada tahun 2011 setelah meninggalkan PAS Pusat pada 1993. Saya telah huraikan sebelum ini dengan lanjut di dalam tulisan saya yang bertajuk YDP Shah Alam: Mengapa Tidak Dipertahankan?

Saya pernah mengisi jawatan AJK PAS Pusat pada 1987 hingga 1993. Saya tidak bertanding pada pemilihan 1993 atas sebab ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang OKU dan prestasi syarikat kejuruteraan milik saya yang agak merudum kerana tiada tumpuan. Tetapi itu cerita lain yang akan saya ceritakan pada satu masa kelak, bukan sekarang.

Maka sejak 2013, setelah saya tidak lagi memikul amanah sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam, saya hanya hadir mesyuarat bulanan PAS Kawasan atas tiket ex-officio selaku Ahli Parlimen Shah Alam. Ada kalanya saya hadir dan banyak juga ketikanya saya tidak. Oleh itu saya tidak begitu mengambil tahu apa yang berlaku menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam tahun ini.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam, saya telah dijemput hadir sebagai salah seorang VIP. Saya hadir untuk program perasmiannya dan telah meninggalkan dewan di IDCC Shah Alam selepas itu. Saya bukan perwakilan. Saya tidak hadir semasa agenda pemilihan/pencalonan pimpinan Pusat diadakan dan keputusannya memeranjatkan saya sepertimana ianya memeranjatkan ramai di seluruh Negara.

SAYA MERANCANG MENJATUHKAN DS PRESIDEN?

Ada yang menuduh saya merancang untuk menjatuhkan DS Presiden dan perancangan saya telah berjaya digagalkan. Kalau saya ingin merancang sesuatu dalam pemilihan AJK PAS Pusat pada muktamar akan datang, tidakkah dilihat pelik bahawa saya melepaskan jawatan sebagai YDP PAS Kawasan? Biasanya yang ingin merancang sesuatu ‘pengambil alihan kuasa’ akan tentukan dirinya berjawatan sepertimana juga rakan-rakan dan penyokong-penyokongnya. Ini kita lihat sedang diusahakan oleh beberapa orang tertentu yang menyusun strategi di peringkat cawangan dan Kawasan.

Read more at: http://www.khalidsamad.com/2015/04/kisah-mesyuarat-agung-pas-kawasan-shah.html



Comments
Loading...