Pertembungan PAS-PKR di Permatang Pauh… DAP cuci tangan


peta-ppauh

(Agenda Daily) – DAP ‘cuci tangan’ di sebalik pertembungan terbuka antara PKR Pusat dan PAS Permatang Pauh yang tidak mahu keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh 25 April hingga 7 Mei ini.

Sungguhpun Permatang Pauh terletak dalam negeri diperintah Pakatan dan sebelah dengan Parlimen Bagan yang ditandingi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tapi PKR diminta berbincang dengan PAS mengenai siapa calon Pakatan di kerusi tersebut.

“Saya fikir PKR akan tentukan sama ada ini adalah pendirian rasmi PAS atau tidak. Biar PKR selesaikannya. Calon belum diumumkan lagi, jadi tunggulah, ” kata Guan Eng mengulas isu penolakan keluarga Anwar di Permatang Pauh.

Manakala bagi Wan Azizah pulak, bantahan PAS kawasan tersebut cuba diselindungi dengan mengatakan PKR akan tetap bertanding atas alasan parti tersebut masih menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.

“Kami telah melancarkan jentera pilihan raya dan mendapati semua berkeadaan baik.

“Ini dapat dilihat menerusi kehadiran pemimpin dan Exco daripada Selangor dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai calon PKR dalam PRK tersebut, Wan Azizah enggan mendedahkan nama yang akan bertanding.

“Kita akan maklumkan perkara ini nanti,” katanya ringkas.

Dalam pada itu Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi Marzuki memberi jaminan PAS akan menyokong PKR di Permatang Pauh.

“PAS memberi sokongan kepada PKR bagi berdepan dengan PRK Permatang Pauh. Kita telah memutuskan PAS Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis akan terlibat membantu PKR di sana,” katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.



Comments
Loading...