Pakatan Mahathir, Tengku Razaleigh dan Anwar mampu jatuhkan Najib
Sayuti Omar
Usaha untuk menyingkirkan Najib Razak dari kerusi perdana menteri yang ditakhtai sekarang ini bukan mudah. Memang nampak hari ini usaha itu sedang keras dijalankan. Mereka yang berusaha untuk menyingkirkannya telah menggunakan apa saja senjata, tetapi Najib kelihatan tetap kukuh dikerusinya. Deadline yang ditetapkan Jun ini masih kabur.
Salah satu sebab kenapa Najib dilihat liat ialah kerana “kercerdikan” politiknya yang kepada orang lain politik pandir. Sikap yang diambil Najib tenang dan tidak mudah melenting, menjadi salah satu faktor memangkinkan kedudukannya. Najib tidak mudah gelabah dan menjawab setiap isu yang dihala ke arahnya. Politik Najib macam bayu malam, lembut tetapi menyelinap ke tulang hitam.
Jika dibanding dengan pemimpin lain, ambil contoh Anwar Ibrahim sewaktu menjadi TPM dahulu apabila menghadapi kritikan penulis Anwar terus memberi respons. Situasi ini berbeza dengan Najib yang begitu berhati-hati. Mungkin Najib menyedari dia tidak mempunyai ilmu silat banyak dan cekap menjawab persis Anwar maka, jalan yang diambilnya hanya mendiamkan diri sahaja sebagai alat perlindungan diri.
Najib banyak memberi tugas kepada orang lain untuk membela dirinya. Sikap dan perangai golongan bangsawan diamalkan oleh Najib. Anak-anak raja dan orang kaya zaman dulu suka memperhambakan orang lain, bukan saja menyuruh orang memanjat kepala muda, tetapi kalau tengkolok jatuh pun diperintah hamba abdi mengambilnya. Begitulah Najib dalam berhadapan dengan situasi gawat dalam politik. Dia senantiasa berasa dirinya raja yang sering disokong rakyat tanpa pernah mempersoalkan kesalahannya.
Selain daripada itu Najib juga pandai membuat dirinya seperi “lembu kenyang” atau pun tenggiling yang melindungi diri dengan segala kudratnya. Dia semacam tidak kisah, katalah apa hendak dikatakan kepadanya. Najib benar-bnar menunjukkan sikap seperti seorang suami yang takutkan bini, dimana tidak membantah apa yang bini suruh. Disuruh duduk, duduk, disuruh berjalan berjalan disuruh diam, diam. Di depan bini pijak semut tidak mati tetapi dibelakang bini gajah pun boleh ditumbangkan. Yang penting Najib mengelakkan berlaku sengeka terbuka.
Serangan ke atas diri Najib bukan bermula sehari dua ini, tetapi ia bermula sejak lama dahulu. Sewaktu memimpin Pemuda Umno Najib sudah diserang. Peribadinya diungkit termasuk mengadakan affair dengan seorang artis, sampai katanya ditangkap di Port Dickson.
Najib dikaitkan dengan stail politik play safe, dia tidak suka kepada kontroversi dan berpolemik. Kelemahan Najib ialah untuk berdebat, jadi dia pandai senantiasa waspada dari terjebat dengan debat. Sebab itu Najib jarang berpolemik apa lagi berdebat secara terbuka. Di sinilah kebijaksanaan Najib tidak membuka dadanya untuk ditikam musuh. Najib tidak responsif kepada tunduhan dia sebagai pengecut atau dayus.
Di sinilah kekutaan yang ada kepada Najib. Perhatikan dalam serangan bekas PM Dr Mahathir Mohamad kepadanya, dia banyak mendiamkan diri dan menjawab sekadar untuk tidak dikatakan dia sudah kehilangan suara. Perhatikan sahaja jawaban menerusi temu bual khas di TV3 yang telah dirakam dan diedit terlebih dahulu.
Jawaban-jawaban diberikan Najib terhadap persoalan yang dibangkitkan Mahathir dan orang ramai tidak dijawab secara tuntas, sebaliknya disentuh sambil lewa dan bersahaja sahaja. Cara Najib itu menambahkan rasa jengkil orang terhadap, tetapi sekali lagi dia tidak ambil kisah.
Selain stail dan sifat semujadi, Najib banyak mendapat perlindungan oleh arwah bapaknya. Dia menjadikan dirinya legasi Tun Razak dalam politik. Jasa, budi dan pengenangan orang kepada arwah bapanya dijadikan sebagai penangkis tuduhan orang ke atasnya. Kehebatan bapanya banyak membantunya. Najib sedar cara itu satu tindakan naif, tetapi dia tetap melakukannya juga kerana dengan cara itu orang (baca Umno) terus menghormatinya. Sebab itu acap kali Najib menyebut nama ayahnya dalam syarah-syarahan untuk mengembalikan nostalgia Tun Razak.
Melihat kepada situasi dan kondisi itu bukan senang untuk menyingkirkan Najib. Dalam Umno sendiri seperti mana kata Tengku Razaleigh Hamzah, Mahathir tidak mempunyai power untuk menjatuhkan Najib. Ketua-ketua bahagian dan wakil rakyat terutamanya ahli parlimen telah menjadi ayam ternakan kepada Najib. Mereka tidak berani kerana sudah selesa dengan keadaan yang ada, sementara kertas ugutan senantiasa berlegar di hadapan mereka. Bila-bila masa saja mereka akan diambil tindakan kalau melencong daripada tidak menyokongnya.