Boikot PKR: PAS Kepala Batas sokong tindakan PAS Permatang Pauh


pas2

(Agenda Daily) – Makin terang dan jelas bahawa sentimen ‘berbulu’ dengan PKR tidak hanya dikongsi oleh PAS Permatang Pauh sahaja sebaliknya PAS kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

Pagi Isnin, PAS Kepala Batas mengatakan sokongan penuh terhadap kenyataan PAS Permatang Pauh untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP dalam pilihanraya kecil di kawasan tersebut sekali mereka tidak meminta maaf kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS Kepala Batas Mohd Hafiz Kasim dalam satu kenyataan memberitahu mereka memberi sokongan penuh kepada pendirian PAS Permatang Pauh.

“Ditegaskan lagi bahawa jentera pemuda PAS Kawasan Kepala Batas akan dikerahkan membantu PKR dalam PRK P.Pauh setelah PKR melaksanakan tuntutan yang telah dibuat oleh PAS Kawasan Permatang Pauh,” katanya.

PAS Permatang Pauh pada Ahad mendapat mandat ahli dalam mesyuarat kawasan untuk mendesak PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada pilihanraya kecil (PRK) parlimen kawasan itu.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua itu bagi tempoh hingga hari penamaan calon, 25 April ini, sambil menuntut PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu.

“Jika bersetuju (dengan syarat yang diberikan) maka kami PAS Kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.

“Pendirian ini adalah keputusan yang dibuat dan disepakati dalam mesyuarat agung PAS kawasan kali ke-38 hari ini.

“Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti,” katanya.

PAS Permatang Pauh turut mendakwa mempunyai kira-kira 6,000 undi solid di Parlimen Permatang Pauh selain jentera yang selama ini bekerja keras membantu kemenangan PKR dalam setiap kali pilihanraya yang diadakan di kawasan tersebut.

Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh juga mengambil pendirian yang sama dengan PAS Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS kawasan Permatang Pauh
berhubung isu kerjasama dengan PKR di dalam P44.

Ketuanya Nor Hapiza Saad berkata pendirian kami ini adalah sebagai protes terhadap penolakan hudud di kelantan oleh Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah yang mana ia mengguris perasaan seluruh akar umbi PAS.

“PAS Permatang Pauh berdiri bersama-sama tuan guru presiden kami dalam usaha menegakkan islam sebagai addeen,” katanya dalam satu kenyataan media Ahad.

Jentera PAS merupakan aset utama Pakatan dalam menghadapi pilihanraya kerana menreka terlatih dalam gerak kerja kempen dan mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja remeh sepanjang pilihanraya seperti gantung bendera dan bancian sikap pengundi.

Selama ini PKR dan DAP menggunakan khidmat jentera PAS dengan percuma kerana dasar bersama Pakatan. Namun sejak PKR dan DAP mengatakan tidak menyokong hasrat PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan, rata-rata pemimpin PAS enggan melepaskan jentera mereka secara percuma untuk gerak kerja pilihanraya Pakatan.

Situasi di Permatang Pauh yang walaupun kubu PKR, namun mereka tidak mempunyai jentera yang terlatih seperti jentera PKR.

Pelancong politik dan jentera pilihanraya adalah dua perkara berbeza dalam pilihanraya kecil, jika PAS boikot PKR dengan tidak menurunkan jentera mereka, maka PKR akan ketinggalan dari segi kempen kepada BN yang diwakili UMNO.

Sementara itu, PKR yang resah dengan perkembangan tersebut akan berjumpa kepimpinan PAS Permatang Pauh bagi mendapat penjelasan mengenai tuntutan mereka agar memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Hudud.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hairan dengan tuntutan disuarakan Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan kerana sebelum ini pernah bertemunya semasa pelancaran jentera PKR Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam pertemuan yang turut disertai beberapa pimpinan Pas Pusat, Omar menyatakan sokongan terhadap PKR bagi menghadapi PRK Permatang Pauh.

“Sebelum ini dia (Omar) sendiri menyatakan sokongan mahu membantu PR dalam PRK Permatang Pauh.

“PKR akan bertemu mereka bagi mendapatkan penjelasan dan cerita sebenar,” katanya.

Untuk rekod, pelancaran jentera PKR Permatang Pauh dibuat sebelum mesyuarat PAS Kawasan yang mahu PKR meminta maaf parti itu dan menyatakan sokongan kepada Hudud.

 



Comments
Loading...