Bubar Parlimen pilihan terbaik Umno terus berkuasa?


nur-jazlan

Pemimpin atau parti, yang mana perlu dipertahankan? Dan ketika ini, kedua-duanya tidak boleh datang bersama-sama dan pilihan perlu dibuat dengan segera memandangkan rakyat Malaysia terus memerhati dengan teliti.

Nur Jazlan, TMI

Skrip dalam Umno pada ketika ini, bukan sesuatu yang baru dan ia sudah diakui semua pimpinan tertinggi parti satu-satunya parti pra kemerdekaan di negara ini pernah melalui segalanya.

Daripada memecat pemimpin nombor dua tertinggi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke episod parti diharamkan pada 1998, Umno atau lebih tepat lagi Umno Baru kini mengharungi episod baru yang penuh duri dalam helaian sejarahnya.

Apa yang disaksikan kini dengan semua pihak atau lebih tepat lagi semua sayap dan sesetengah Badan Perhubungan Umno negeri menyatakan sumpah taat setia kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, bukanlah sesuatu yang memelikkan, menghairankan atau mengejutkan.

Ahli parti tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk melihat sokongan seperti ini, pernah diterima presidennya yang ke-6, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebaik tamat Pilihan Raya Umum (PRU) 12 apabila Pak Lah memimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno hanya mampu mencatatkan kemenangan 140 kerusi dengan Umno mendapat 79 kerusi.

Bagaimanapun, Umno mencatatkan kenaikan dengan mendapat 88 kerusi pada PRU 13, dan ia pun hanya dapat dicapai “berkat” mengambil semula kerusi majoriti Melayu daripada parti komponen BN.

Sebaik tamat PRU 12 sudah didengari wujudnya gerakan tersusun untuk menjatuhkan Pak Lah daripada kerusi perdana menteri dengan menggantikan Najib sebagai presiden Umno ke-7 dan perdana menteri ke-6.

Semua mengetahui perdana menteri Malaysia daripada BN adalah presiden Umno dan hanya usaha menjatuhkan beliau daripada kerusi presiden Umno yang akan membawa kepada pertukaran kuasa sebagai perdana menteri.

Buat masa ini, kedudukan Najib sebagai presiden Umno secara lahiriah masih lagi kukuh namun kehilangan panglima perang politiknya yang paling kanan, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis berkemungkinan menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.

Manakala daripada segi pentadbiran pula, Najib kehilangan Ketua Staff Sri Perdana Datuk Azlin Alias serta Setiausaha Sulit Datuk Po’ad Jelani, boleh diibaratkan seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”.

Sudah dua minggu arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis meninggal dunia akibat nahas helikopter di Kajang, Selangor dan dalam tempoh dua minggu itu jugalah, rakyat Malaysia memerhatikan Najib seakan berseorangan mempertahankan dirinya.

Terpalit dengan pelbagai isu daripada soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara hinggalah berkaitan keluarganya, Najib sebenarnya kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing.

Apa tidaknya, kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai rekod sejarah cukup baik menjatuhkan perdana menteri Malaysia bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian Pak Lah, Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata.

Amat jarang sekali seorang perdana menteri terpaksa membuat temu bual di televisyen secara terbuka bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas perdana menteri kerana kebiasaannya ia dilakukan di belakang tabir atas hubungan bapa dan anak.

Namun hasil temu bual itu, nampaknya langsung tidak meyakinkan Dr Mahathir dan juga menambahkan lagi kurang keyakinan di kalangan rakyat sehingga Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal terus menuntut perdana menteri menjawab persoalan berkenaan.

Selepas pengisytiharan solidariti ketua Umno Bahagian di PWTC awal bulan ini, kenyataan Shafie itu membuka semula kemungkinan berlaku kudeta secara teratur dalam pimpinan tertinggi Umno seperti yang dialami Pak Lah sendiri pada 2008 walaupun ketika itu, daripada lahiriahnya semua menyatakan sokongan kepada Pak Lah.

Umno yang kini dicap sebagai sebuah parti feudal sudah pasti di kalangan bangsawannya bertindak mengelilingi pemimpin apabila beliau diancam dan tradisi ini sama seperti dipamerkan golongan bangsawan Inca yang mengelilingi raja mereka apabila diancam penjajah Sepanyol 500 tahun lalu.

Namun, nasib semua bangsawan Empayar Inca ini sama seperti dialami raja mereka apabila semua mereka dibunuh hingga menyebabkan rakyat mereka bertaburan melarikan diri dan runtuhlah Empayar Inca di Amerika Selatan.

Saya sendiri mengakui secara terbuka dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor pada 2008 lalu kepada Pak Lah beliau perlu meletakkan jawatan akibat prestasi teruk BN dan Umno dalam PRU 12.

Read more here

 

 



Comments
Loading...