SENTUHAN ISLAM & ULAMA DALAM DUNIA KORPORAT


Raja Idris Kamarudin

Izwan Abdul Halim

Peranan ulama dan ilmu pengurusan Islam telah terbukti memberi sumbangan penting kepada perkembangan dunia korporat hari ini, demikian pengakuan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Dato’ Raja Idris Raja Kamarudin (gambar).

Malah katanya, teori Barat yang digunapakai dan diterap dalam pengurusan korporat moden kini hakikatnya dimodelkan dari sunnah Rasulullah dan amalan Islam.

“Dalam bidang korporat selalu guna konsep pengurusan daripada Barat, padahal dalam sistem Islam banyak konsep telah ada lebih dari 1,400 tahun tetapi kita tidak mahu gunakan. Kita guna istilah ‘Pengurusan Masa’, bukankah sudah ada waktu solat, waktu puasa dan berbuka, hari raya, haji dan kepentingan masa?

“Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah jadi polisi semua syarikat dunia. Dalam Islam telah amal CSR, kita ada zakat, wakaf, derma, menjaga keluarga terdekat, jiran, mereka yang sakit dan orang tua.

“Kita kena ada ‘Corporate Governance’, di Bursa jika tidak ada boleh kena saman. Bukankah dalam Islam bila hendak jual beli kena beritahu tiada kecacatan barangan, perlu berintegriti tinggi dan mengharamkan rasuah,” ujarnya pada Kongres Profesional Muslim Se-Malaysia bertemakan “Islam, Profesionalisma dan Penyelesaian” di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini 18 April lalu.

Katanya, dalam sistem kewangan, Islam telah mempunyai sistem as-Salam, sukuk, musyarakah, mudharabah, ijarah, wakaf, zakat dan sebagainya.

Begitu juga menurutnya, Islam mempunyai ‘Etika Kerja’ sendiri seperti tidak curi tulang, membezakan antara hak syarikat dengan hak diri, serta hubungan interaksi antara lelaki dan perempuan.

Manakala berbanding ‘Jaringan Sosial’ Barat seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan seumpamanya, Dato’ Raja Idris berkata, ‘Jaringan Sosial’ Islam boleh diadakan di masjid, semasa dan pada hari-hari kebesaran Islam dengan menganjurkan akikah, korban dan seumpamanya.

Termasuk juga ujarnya, kecenderungan semasa terhadap ‘Tabiat Membaca’ dan ‘Pengembangan Memori Otak’ terhadap anak-anak, di mana Islam telah mendahului menerusi bacaan dan hafalan al-Quran, surah-surah, doa, hadis dan bacaan dalam solat.

Sementara dalam penjagaan dan perapian jelasnya, Islam mengajar berwuduk, memotong rambut dan kuku, memakan makanan halalan thoiyiban, pergerakan solat dan puasa untuk penjagaan tubuh badan.

Dato’ Raja Idris yang memiliki pengalaman lebih 35 tahun dalam dunia korporat di dalam dan luar negara turut berkongsi ilmu ditimbanya sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan TDM Berhad semasa PAS mentadbir Terengganu pada tahun 1999.

Menurut beliau, TDM dipengerusikan seorang ulama iaitu Almarhum Tuan Guru Dato’ Harun Taib, di mana pengurusannya terdiri daripada kalangan profesional dan Lembaga Pengarah pula melibatkan pakar runding yang dilantik berdasarkan bidang tertentu.

“Oleh kerana perbankan di Malaysia tidak diterimanya kerana masih menggunakan ‘nilai wang semasa’, maka kami diminta mencari kaedah dan sistem kewangan yang berdasar dan berasas Islam iaitu muamalat Islam. Kami tidak dibenar mengambil pinjaman terutama dari bank konvensional.

“Almarhum menyuruh kami teliti satu jual beli disebut ‘as-Salam’ iaitu kontrak jual beli yang di amalkan di Madinah sebelum Rasulullah berhijrah ke sana,” ujarnya mengimbas detik itu.

Terangnya, walaupun dalam masa 4 tahun yang singkat, pinjaman RM160 juta dan hutang pembekal dapat diselesaikan mengguna sistem as-Salam itu.

Akui beliau, kaedah diajar Dato’ Harun di TDM telah diaplikasikannya di Perangsang antaranya solat berjamaah dan menggalakkan solat dhuha, selain turut diadakan tazkirah dan usrah bulanan serta qiyamullail dua bulan sekali.

Pada kesempatan pembentangan itu, Dato’ Raja Idris turut menggesa umat Islam agar tidak terperangkap dengan desakan Barat dan media massa terhadap istilah fundamentalis dan ekstremis yang sengaja dikaitkan sebagai pengganas (terrorist).

“Saya berani kata, saya fundamentalis, saya ekstremis, tetapi saya bukan ‘terrorist’. Fundamentalis ialah seorang ikut asas-asas. Saya fundamentalis dalam Islam, saya ikut asas-asas Islam iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya. Jadi saya ikut cara solat, puasa, haji dan sebagainya. Adakah saya ‘terrorist’? Saya bukan ‘terrorist’.

“Saya ektremis, bermakna saya bukan ikut hanya asas-asas Islam (sahaja) iaitu semua yang wajib. Saya (juga) puasa sunat, buat umrah. Saya buat lebih daripada asas, jadi saya ekstrem dalam Islam, tetapi saya bukan ‘terrorist’.

“Jadi kita ambil terminologi dan takrifan daripada Barat dan kita rasa terkongkong. Sedangkan dalam Islam ada semua itu,” ujar Dato’ Raja Idris.

 



Comments
Loading...