Muhyiddin tak harus berlengah lagi – Sokong Mahathir atau bersama Najib?
Shahbudindotcom
Rasanya sudah lebih dari sekali Tun Mahathir Mohamad menyebut nama Muhyiddin Yassin sebagai calon paling layak menggantikan tempat Najib Razak sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut turut menulis nama Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengganti paling munasabah bagi kerusi Perdana Menteri selepas Najib diundurkan.
Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan, memang tidak disangsikan bahawa Muhyiddin seharusnya diberikan kerusi Perdana Menteri jika pengunduran Najib berjaya dilakukan, meskipun nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah turut sama menjadi sebutan.
Tun Mahathir dalam program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam, mengulangi sekali lagi, bahkan seakan-seakan mengesahkan bahawa kerusi Perdana Menteri selepas ini bakal menjadi milik Muhyiddin.