PKR curiga kempen PAS di Permatang Pauh
(Agenda Daily) – PAS Kelantan umum mereka akan mengambil kesempatan pilihanraya kecil ini untuk mempromosi undang-undang jenayah syariah Hudud.
Sikap mencurigai sekutu sendiri nampaknya berkembang dalam hati pemimpin PKR yang turun berkempen di Permatang Pauh selepas PAS Kelantan umum mereka akan mengambil kesempatan pilihanraya kecil ini untuk mempromosi undang-undang jenayah syariah Hudud.
Ketua Penerangannya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ini kerana perkara itu tidak ada kesan langsung terhadap rakyat berbanding isu lain yang lebih penting seperti kenaikan harga barang.
Malah menurut beliau, PAS sepatutnya mengetahui berhubung pendirian PKR yang sejak awal konsisten tidak menyokong pelaksanaan hukuman itu.
“Hukum hudud sesuatu yang belum pasti dan masih berada pada peringkat perbincangan, jadi kita dahulukan isu lain yang lebih penting dan tidak perlu diperbesarkan tentangnya dalam PRK,” katanya Isnin.
Syed Ibrahim mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob iaitu PAS akan menggunakan kesempatan berkempen dalam PRK Parlimen Permatang Pauh dan Rompin untuk memberi penjelasan serta kefahaman kepada orang ramai tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, isu pelaksanaan hukum hudud perlu dirundingkan dalam mesyuarat yang melibatkan pemimpin PKR, DAP dan PAS.
Apa yang lebih penting ketika ini, tambah beliau, adalah memastikan kemenangan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Parlimen Permatang Pauh, bukannya membangkitkan isu hukum hudud yang belum menjadi perkara besar kepada rakyat.
“Cuma kalau ada persoalan tentang hukum hudud sewaktu berkempen, kita akan terangkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman berkata, boikot yang disuarakan Pemuda PAS Pulau Pinang tidak memberi kesan besar kepada PKR memandangkan masih wujud kerjasama antara kedua-dua parti tersebut di peringkat akar umbi.
“Yang kata boikot itu pemimpin tertentu sahaja, tetapi sebenarnya PAS diketuai Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mujahid Yusof telah menggerakkan jentera mereka,” katanya.
Mansor berkata, pihaknya tidak ada isu dengan bantahan yang disuarakan DPP negeri kerana apa yang lebih penting ahli PAS khususnya di Permatang Pasir membantu kempen dalam PRK tersebut.
Bagaimanapun tinjauan di ‘medan’ mendapati sebaliknya, jentera PAS tempatan di Permatang pasir dan Penanti nampaknya tidak membantu PKR sepenuhnya.
Banyak kawasan yang masih tidak mempunyai bendera PKR dan poster calon walaupun sudah masuk hari ketiga kempen.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dalam kenyataan medianya berkata, semua jentera dan petugas Pemuda PAS Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh.
“Semua bilik gerakan Pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh ini,” katanya.
Malah, katanya, kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru tadika {asti juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK ini.
“Kami juga tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai mana-mana pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh,” katanya.
Ini berikutan desakan permohonan maaf yang disuarakan Pemuda PAS negeri itu berhubung kenyataan media Pemuda PKR Pulau Pinang yang dianggap menghina dan memfitnah Hadi tidak dilayan PKR.
Tempoh untuk menyatakan permohonan maaf itu kini tamat tempohnya pada hari penamaan calon, 25 April lalu.