Pas jadi bahan jenaka akibat u-turn


PAS-PP

(Sinar  Harian) – Permatang Pauh mencatatkan sejarah tersendiri apabila Pas, parti yang tidak bertanding menjadi sebutan ramai dan lebih popular berbanding PKR.

Dua kali Pas membuat kejutan dan menjadi tajuk muka depan kebanyakan media dalam tempoh seminggu ini.

Pas Kawasan Permatang Pauh memecah kesunyian dan tembok halangan apabila membuat pusingan U dengan kembali menyokong PKR dalam pilihan raya ini walaupun sebelum ini bertegas dengan usul yang dibentangkan oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Permatang Pauh.

Sengketa itu selesai pada malam pengumuman nama calon PKR apabila kedua-dua belah pihak bertemu dan bersetuju berdamai melibatkan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man Mat Aji.

Manakala PKR diwakili Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Omar berkata, pihaknya menerima persetujuan PKR iaitu semua pemimpin dan ahlinya yang beragama Islam akan menyokong pelaksanaan hudud yang dicadangkan Pas, manakala pemimpinnya yang bukan Islam tidak menyokong hukum itu.

“Kita anggap isu yang berlarutan beberapa hari sebelum ini selesai dan Pas Permatang Pauh akan menggerakkan semua jentera pilihan raya untuk bantu kempen calon PKR,” katanya selepas mengiringi calon PRK ke pusat penamaan calon lima hari lalu.

Sejak pagi semalam, Pas terus menjadi bahan jenaka orang ramai di kawasan dengan pelbagai andaian punca mereka membuat ‘air turn back’, yang pada mulanya dilihat begitu keras, tegas dan istiqamah.

Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang akhirnya mengalah dan menggerakkan semula jenteranya membantu kempen PRK Permatang Pauh dengan alasan bagi memastikan kerusi parlimen itu tidak jatuh kepada musuh PR iaitu BN.

Sungguhpun begitu, ia masih mengekalkan desakan meminta AMK Pulau Pinang meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan biadab dan memfitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua bulan lalu.

Ketuanya, Mohd Yusni Md Piah berkata, keputusan bersama ahli jawatankuasa pemuda negeri dicapai selepas menghadiri mesyuarat tergempar dengan Pemuda Pas Pusat, disertai timbalan ketua, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan naib ketua, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Oleh itu, semua jentera yang direhatkan sebelum ini akan digerakkan semula untuk berkempen seperti biasa untuk bertemu pengundi dan menjamin kemenangan calon PKR, Dr Wan Azizah.

Ramai yang gelak besar apabila mendapat khabar itu – PKR mungkin gembira kerana pendirian tegas mereka (AMK Pulau Pinang) selama ini tidak mampu digugat Pemuda Pas walaupun setelah diugut beberapa kali.

Walaupun Mohd Yusni mengeluarkan amaran beberapa kali, namun AMK hanya mendiamkan diri tanpa menyahut atau memberi respons walaupun sepatah perkataan.

Cuma kelmarin Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dilaporkan berkata, desakan Pemuda Pas Pulau Pinang itu tidak akan beri sebarang kesan kepada gerak kerja PR dalam PRK ini kerana pimpinan atasan Pas memberi sokongan padu kepada mereka. Jadi tanpa penglibatan Pemuda Pas pun kempen dan proses merayu undi di setiap kawasan dapat berjalan lancar.

Terdengar sembang beberapa orang di kedai kopi di Kubang Semang semalam – biasalah, itulah Pas – parti yang selalu suka berpusing-pusing, boleh patah balik, boleh buat kejutan dan tidak tetap pendirian.

“Memang lawak. Pemuda Pas sedia bersama dengan AMK dan PKR tetapi masih meminta mereka memohon maaf. Macam mana ni. Yang mana satu pendirian mereka,” kata salah seorang daripada mereka.

Mereka berpendapat Pas wajar mengekalkan pendirian yang tegas setelah apa dilakukan PKR dan DAP selama ini. Begitu mudah dipermainkan oleh rakan sekutu dalam PR.

“Mula-mula nampak begitu garang tetapi akhirnya cair,” terdengar seorang mencelah.

Beberapa rakan dan penyokong Pas dalam aplikasi WhatsApp secara spontan memberi komen: “Dah jangka, Pas dan u-turn tak dapat dipisahkan … haha.”

Bekas pemimpin Pas yang minta namanya dirahsiakan berkata, pergolakan yang berlaku ‘macam kapal nak karam’ sudah dijangka akan berakhir sedemikian rupa.

“Hanya ribut dalam secawan kopi. Mula-mula riuh, lepas tu selesai tanpa banyak soal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Pas lebih istiqamah dalam perjuangan parti dan tidak mudah hilang arah jika digertak oleh sekutu dalam PR.

 



Comments
Loading...