Calon Bersih, Parti Bersih?
Tidaklah bermanfaat jika calon bersih tetapi reformasi atau perubahan budaya politik partinya tidak diyakini akan berlaku bagi kepentingan rakyat jelata.
oleh Adeeba Adni
Calon bersih, parti kotor? Parti bersih, calon kotor? Lagi tidak boleh terima jika kedua-duanya kotor. Tentunya rakyat berhasrat untuk diwakili oleh individu yang bersih yang menganggotai parti yang bersih juga, iaitu calon bersih, parti bersih.
Bersih atau kotor dari perspektif politik adalah jelas. Ia mudah diukur dengan ukuran-ukuran yang sedia diwujudkan di peringkat nasional, negeri dan antarabangsa.
Paling minima ialah menerima pakai dasar tata kelola atau tadbir urus baik (good governance) yang mendokong prinsip-prinsip kompentensi, pertanggungjawaban dan ketelusan (CAT – Compentency, Accountability, Transparency). Kejayaan mencapai “kebersihan” itu adalah berlandaskan sejauh mana pengamalan ketiga-tiga prinsip tersebut oleh mereka yang telah diberi kuasa menerajui dan mentadbir parti politik.
Di Malaysia, parti politik yang berkuasa mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas halatuju agenda nasional yang menghalatujukan agenda negeri dan kesemua agenda-agenda lain yang mengesani rakyat jelata, seperti mengenakan GST, menghapus subsidi, had gaji minima untuk pekerja, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, menyimpan wang KWSP rakyat dengan lebih lama tanpa persetujuan rakyat ramai, hubungan antara kaum dan golongan-golongan berlainan agama, kebebasan akhbar dan perhimpunan rakyat serta segala yang lainnya. Dengan itu, calon-calon dalam pilihan raya adalah tertakluk kepada dasar dan prinsip serta budaya politik yang dianuti oleh parti politik yang diwakilinya.
Persepsi rakyat Malaysia ialah parti-parti politik itu semuanya sama sahaja. Diperakui bahawa sebahagian rakyat kecewa dengan beberapa insiden politik dan sikap segelintir ahli politik yang bertentangan dengan harapan rakyat.
Ketika ini ada dua golongan parti politik – Pakatan Rakyat(PR) dan Barisan Nasional(BN). Di antara keduanya, BN telah hampir 60 tahun memerintah Malaysia dan telah membudayakan cara hidup, corak pemikiran, politik, kepolitikan dan hubungan antara kaum yang menganuti berbagai agama di Malaysia. Keadaan atau status rakyat Malaysia kini adalah cerminan kepada dasar dan ideologi politik BN.
PR belum pernah memerintah negara Malaysia walaupun berpengalaman mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya dalam plihanraya umum sebelum dan pada 2008 dan 2013. Rekod pencapaian negeri-negeri yang ditadbir oleh PR jelas menunjukkan dasar dan ideologi politik yang berbeza, walaupun pengamalannya belum memuaskan hati rakyat yang mempunyai harapan menggunung terhadap PR.
Semakin tahun, semakin meningkat bilangan rakyat yang menginginkan perubahan dalam corak pemerintahan negara yang mengamalkan CAT. Mereka telah mengalihkan pendangan kepada selain Umno-BN dan mendapati PR. Perolehan PR mentadbir pertambahan tiga negeri yang lain, selain Kelantan adalah manifestasi kemahuan rakyat yang semakin ramai menginginkan perubahan dalam corak pemerintahan di Malaysia. Cetusannya ialah penyingkiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari arena politik Umno-BN dan jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1998. Peristiwa itu dikenang rakyat sehingga hari ini. Rentetan sejarah selepas itu mengakibatkan rakyat bangkit dan memberi undi majoriti kepada PR walaupun tidak berjaya menduduki Putrajaya.
Manifestasi visi dan misi PR dalam konteks CAT diterjemahkan dalam pentadbiran dan dasar-dasar pelaksanaan aktiviti dan program rakyat, khususnya di negeri Selangor dan Pulalu Pinang. Kesungguhan dan komitmen politik Kerajaan Negeri Selangor diperkukukuhkan dengan menerbit dan mewujudkan SELCAT dan Penang CAT di Pulau Pinang. Ia telah meyakinkan masyarakat antarabangsa dengan kedua negeri mencapai pelaburan asing (FDI) paling tinggi di kalangan negeri-negeri di Malaysia.
Di pilihan raya umum yang lalu, Selangor telah meraih dua pertiga sokongan dalam Dewan negeri Selangor walaupun Umno-BN telah membelanjakan wang yang sangat banyak dan memobilisasikan segala jentera komunikasi dan lainnya untuk mencemar dan menewaskan PR di negeri Selangor. Oleh kerana usaha yang berterusan dan komitmen kerajaan Selangor merakyatkan ekonominya dan membela rakyat dalam pelbagai aspek telah menawan hati rakyat yang lebih mengetahui tentang hakikat yang belaku di akar umbi yang bertentangan dengan propaganda Umno-Bn di media cetak dan elektronik. Bagi Kerajaan Selangor, ia suatu usaha yang tersusun dan bersifat jangka panjang untuk mencapai agenda pembangunan rakyat yang lengkap dan menyeluruh. Di antara perkara yang menguja rakyat Selangor ialah janji untuk memiliki saham-saham dalam syarikat pembekal air di negeri Selangor. Ia adalah satu contoh yang konkrit dalam merayatkan ekonomi negeri Selangor secara hakiki, yang boleh menjadi aras ukur (benchmark) kepada aras ukur CAT kerajaan-kerajaan di peringkat antrabangsa.
Satu lagi fenomena CAT yang penting ialah rakyat berasa selesa dan mudah untuk membuat aduan tanpa sebarang perasaan negatif, atau rasa terancam. Maklum balas rakyat sentiasa dihargai kerana ia adalah cara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, aktiviti dan program-program kerajaan negeri. Perubahan budaya kerja perkhidmatan awam juga perlu berlaku bagi merealisasikan agenda reformasi. Perubahan ke arah merealisasikan CAT dalam pentadbiran negeri berlaku secara berfasa dan tentunya menghadapi berbagai rintangan dan cabaran di peringkat permulaannya kerana budaya pentadbiran Umno-BN telah terpasak begitu lama – selama lebih setengah abad.
Oleh yang demikian, parti politik pemerintah ketika ini adalah tunggak pemerintahan di Malaysia. Tidaklah bermanfaat jika calon bersih tetapi reformasi atau perubahan budaya politik partinya tidak diyakini akan berlaku bagi kepentingan rakyat jelata. Jika budaya politiknya ialah mengawal rakyat dan makuti rakyat dengan berbagai amaran dan Akta, supaya parti politik itu terus berkuasa, calon yang menganggotai parti politik yang sedemikian akan juga menganuti budaya parti politiknya yang rakus kuasa dan akan melakukan apa yang perlu bagi mengekalkan kuasanya. CAT, keadilan dan kesaksamaan serta pemberdayaan rakyat bukan kepentingan parti politik sedemikian. Rakyat hanya akan dididik dengan tumpuan ekonomi dan kebendaan tanpa nilai-nilai kemanusiaan, spiritual dan kelestarian pembangunan jangka panjang. Yang paling menggusarkan ialah apabila segala khazanah dan pendapatan milik rakyat diperlakukan dan dibelanjakan tanpa prinsip-prinsip CAT.
Rakyat ingin suatu pemerintahan yang mesra rakyat, khususnya dalam memperolehi maklumat secara bebas ketika diminta oleh rakyat, memastikan hak rakyat dalam pembahagian pendapatan negara dan negeri diurus sehingga akhirnya kualiti kehidupan rakyat meningkat dari masa ke semasa, bukan sebaliknya – Malaysia ialah sebuah negara pengeluar minyak dan kaya dengan berbagai hasil tentunya sudah mampu menjadi seperti negara lain yang sekufu yang memberikan pendidikan dan kesihatan yang percuma kepada rakyatnya serta mengurangkan kos kehidupan, khususnya dalam keperluan pengangkutan, seterusnya memelihara keselamatan rakyat dengan baik.
Parti politik yang boleh diyakini hasratnya benar-benar mementingkan rakyat tidak hanya memberikan itu dan ini dalam manifestonya dalam bentuk belanjawan tetapi yang memberikan rasa selamat kepada rakyatnya dan keluarganya serta masa depan mereka. Parti politik yang boleh dipercayai ialah yang boleh dirapati untuk mendapatkan pembelaan bagi rakyat yang memerlukan dan tidak memperlakukan rakyat sebagai alat-alat untuk kepentingan agenda politik sempitnya, seperti mengenakan GST yang jelas menyusahkan rakyat. GST 6 % ini hanya permulaan. Ia boleh meningkat di masa akan datang adalah suatu ketentuan. Jika sekarang ini, perbelanjaan RM1000 akan terpaksa membayar RM60, jika 10% menjadi RM100 setiap pembelian. Jika dua belas kali atau setahun pembelian sedemikian, RM1200 akan dibayar oleh rakyat sebagai pertambahan tanpa sebarang kenaikan gaji. Parti politik yang bersih adalah yang memberikan maklumat sebenar kepada rakyatnya, sekali-kali tidak membohongi mereka. Rakyat perlu tahu apa rancangan masa kini dan masa depan untuk rakyat, bukan informasi itu diketahui, disimpan dan dimiliki oleh hanya untuk segelintir golongan yang berkuasa yang ingin memerintah untuk selama-lamanya.
Parti politik yang bersih ialah yang melaksanakan CAT dengan segala kesungguhan dan menjadikan rakyat berasa selamat. Pendidikan terhadap rakyat adalah usaha yang utama untuk melahirkan rakyat, warga negara yang berakhlak, bertanggungjawab dan mengasihi sesama mereka dan terhadap para pemimpinnya.
Parti politik yang bersih ialah yang tidak curang terhadap rakyat dan tidak pula mengkhianati mereka dengan pembohongan demi pembohongan dan tidak langsung menghiraukan pelaksanaan manifesto yang menjadi ikrarnya.
Sebuah badan, Ekklesia (kita menerima apa yang baik dari sesiapa yang menganjurkan kebaikan) telah membuat kajian dan telah menghasilkan panduan berikut:
VOTE FOR WHAT YOU BELIEVE IN
We would urge you to reflect on these values when you vote.
-
A commitment to favouring the poorest and most vulnerable
-
Actively redressing social and economic injustices and inequalities
-
Welcoming the stranger and valuing displaced and marginalized people
-
Seeing people, their dignity and rights as the solution not the problem
-
Moving from punitive ‘welfare’ to a society where all can genuinely fare well
-
Promoting community and neighbourhood empowerment
-
Food, education, health, housing, work and sustainable income for all
-
Care for planet and people as the basis for human development
-
Investing in nonviolent alternatives to war and force as a basis for security
-
Transparency, honesty and accountability in public and economic life
UNDILAH MENURUT APA YANG ANDA YAKINI
Kami menggesa anda untuk merenungi nilai-nilai berikut apabila anda ingin membuat pilihan ketika mengundi:
-
Yang mempunyai komitmen yang cenderong untuk memelihara kepentingan yang termiskin dan terdedah kepada berbagai risiko
-
Yang aktif dalam menyuarakan ketidakadilan dan ketisaksaksamaan sosial dan ekonomi
-
Yang mesra terhadap yang tidak dikenali dan menjamin kepentingan golongan tiada berkediaman dan terpinggir
-
Menanggap bahawa maruah dan hak manusia itu adalah solusi bukan bebanan
-
Menganjak dari kebajikan yang punitif kepada masyarakat di mana semua anggotanya berada dalam keadaan kebajikan yang terpelihara dengan baik (memastikan rakyat tidak diasing-asingkan menurut status mereka dan menganjurkan kebersamaan dalam menangani berbagai isu dalam masyarakat dan bergandingan dengan pihak-pihak yang berkuassa dan badan-badan yang aktif)
-
Mempromosi pemberdayaan komuniti dan dan kejiranan
-
Pemakanan, pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan, dan pendapatan yang mencukupi untuk semua
-
Pemeliharaan planet dan manusia sebagai asas pembangunan manusia
-
Pelaburan dalam alternatif tanpa keganasan kepada peperangan/pertembungan fizikal dan penggunaan kuasa fizikal sebagai asas keselamatan (tidak menggalakkan permusuhan dan pecah belah di kalangan rakyat)
-
Ketelusan, kejujuran dan pertangunggjawaban dalam kehidupan awam dan ekonomi.
Berpandukan di atas, buatlah pilihan yang tepat. Tanyailah calon-calon apakah yang bakal mereka laksanakan untuk kesepuluh perkara-perkara di atas.
Maka buatlah pilihan yang tepat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei nanti. Ah, mungkin sama saja kedua-dua parti itu…? Pilihlah parti politik yang kurang durjananya atau yang tidak pernah terbukti mendurjanai rakyat, tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasanya mengancam rakyat atau mengsonglap wang rakyat atau membebankan rakyat dengan berbagai cukai dan kos.
Adeeba Adni ialah seorang aktivis sosial yang berhasrat untuk memasyarakatkan kebajikan dan poltik