PKR belum selamat di Permatang Pauh, kata penganalisis


abdul-hadi-awang

(The Malaysian Insider) – Pendirian Pemuda PAS Pulau Pinang untuk menyokong kembali PKR di Permatang Pauh belum tentu menjamin kemenangan dengan majoriti besar, kata penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani.

Ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum mengeluarkan arahan jelas kepada ahli parti dan penyokong agar mengundi Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata Azizuddin.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata akan wujud elemen ‘sabotaj’ terhadap PKR.

“Sekarang ini ada arahan pusat agar mereka membantu kempen. Namun, bantu kempen ini satu perkara dan mengundi pula satu perkara lain.

“Kemungkinan perpecahan undi itu akan berlaku juga. Ini kerana mereka ini seperti dipaksa memberi sokongan kepada PKR dalam pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata penyokong dan ahli-ahli PAS tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN), namun mereka boleh memilih untuk tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.

Katanya, hanya dengan arahan jelas presiden PAS sahaja PKR boleh memastikan mereka kekal menang dengan majoriti besar.

“Hadi sepatutnya campur tangan dan bagi arahan agar ahli-ahli PAS memangkah Dr Wan Azizah. Tetapi sekarang ini tiada arahan,” katanya.

Pemuda PAS Pulau Pinang pada Rabu menukar pendirian mereka yang sebelum ini bertegas tidak berkempen untuk PKR.

Pendirian itu dibuat atas alasan PKR menolak hudud yang mahu dilaksanakan PAS di Kelantan.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah bagaimana pun berkata mereka kini memutuskan untuk mematuhi pendirian PAS Pusat.

Pendirian itu diambil selepas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata tindakan akan diambil terhadap Yusni kerana melanggar ketetapan PAS Pusat.

Sementara itu, turut mengutarakan pendapat sama dengan Azizuddin adalah penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Katanya, Hadi perlu memberi arahan jelas agar ahli PAS memangkah Dr Wan Azizah.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...